KEMPEN Pengurusan Alam Sekitar MRT telah dilancarkan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) di Pusat Latihan Klang Valley MRT (KVMRT), Sungai Buloh pada 4 Oktober 2016. Kempen selama sebulan ini telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir. Hamim Samuri.
Hamim telah melancarkan kempen ini pada Persidangan Pengurusan Alam Sekitar 2016, yang merupakan salah satu dari beberapa program yang dianjurkan ketika tempoh kempen tersebut.
Kempen ini merupakan inisiatif MRT Corp untuk mempromosikan amalan mesra alam di tapak pembinaan Projek MRT dan pemahaman berkenaan pengurusan dan pembuangan sisa elektronik (e-waste).
Semasa pelancaran ini juga, MRT Corp telah melancarkan pertandingan Sisa Elektronik MRT. 12 komuniti sepanjang Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) telah dipilih untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Komuniti yang berjaya mengumpul sisa elektronik terbanyak selama tiga minggu, akan memenangi wang tunai bernilai RM 2,000.00.
Selain daripada pertandingan sisa elektronik itu, MRT Corp juga telah mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti semasa Hari Persekitaran Negara 2016 pada 22 Oktober 2016 di Putrajaya Water Recreational Centre. 13 kakitangan MRT Corp telah mengambil bahagian dalam Eco Fun Walk 2016.
Pada hari itu juga, Trak Informasi MRT telah disediakan untuk orang awam mendapatkan maklumat tentang Projek dan lebih daripada 500 orang telah berkunjung ke trak tersebut.
MRT Corp juga telah menyumbangkan papan tanda Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran MRT di checkpoint 1 kilometer. Ia dapat memberi maklumatkan maklumat kepada orang awam tentang langkah keselamatan yang diamalkan oleh MRT Corp.
Di samping itu, pemenang pertandingan Sisa Elektronik MRT Corp telah diumumkan.
Komuniti Bandar Utama 4, yang diwakili oleh Encik Chow Yew Nam telah berjaya menjadi pemenang pertandingan tersebut. Komuniti ini telah berjaya meraih sejumlah 611kg sisa elektronik. Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah menyampaikan cek bernilai RM 2,000.00 kepada pemenang tersebut.
Rakan Pelaksana Projek MRT Corp Laluan SBK, MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd juga telah menganjurkan pertandingan melukis bagi pelajar sekolah rendah berumur antara sepuluh hingga dua belas tahun.
Pemenang-pemenang pertandingan ini telah menerima hadiah mereka semasa majlis penutup Hari Persekitaran Negara 2016 di Pusat Latihan KVMRT. Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Tuan Haji Ismail Ithnin telah menghadiri majlis ini.









