PADA 11 Mei 2016, Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) telah melancarkan Program Keusahawanan Graduan Muda yang kedua (MYEP 2) di Auditorium Perak, ibu pejabat MRT Corp.
Program MYEP 2 ini melibatkan seramai 60 graduan muda yang akan menjalani latihan dan kemudiannya membentuk syarikat untuk membida kontrak MRT.
Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Dato’ Sri Shahril Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif (PUNB) Datuk Dzulkifli Fadzilah dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Malaysia, Dato’ Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid. Mereka bertiga mewakili organisasi yang telah bekerjasama untuk membentuk program ini.
Untuk memulakan acara pada hari tersebut, Encik Azwan Baharuddin daripada bahagian Keselamatan, Kesihatan, Pekerjaan dan Persekitaraan, telah memberikan sebuah taklimat keselamatan yang ringkas kepada para hadirin.
Selepas taklimat keselamatan selesai, Timbalan Pengurus Besar Perhubungan Bumiputera MRT Corp, Encik Zarif Zainul telah memberikan ucapan pendek menerangkan butiran program. Beliau memberitahu bahawa tempoh program ini adalah selama setahun dan peserta program akan melalui pelbagai jenis program latihan.
Tibalah giliran Dato’ Dzulkifli pula memberi ucapan dan b eliau menyatakan rasa terima kasih dan penghargaan kepada MRT Corp dan CIDB Malaysia di atas komitmen keseluruhan kejayaan ini.
18 graduan muda Bumiputera telah dipilih untuk menjalani latihan di mana mereka dilengkapi dengan kemahiran untuk menjadi usahawan di dalam industri pembinaan. Pada penghujung program ini, 14 peserta telah berjaya menamatkan program dan membentuk 13 syarikat yang kemudiannya dianugerahkan kontrak oleh Kontraktor Pakej Kerja (WPC) MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK).
Selepas selesainya ucapan Dzulkifli, Dato’ Ir Ahmad ‘Asri telah memberi sepatah dua kata tentang kerjasama ini. CIDB Malaysia akan menyediakan modul yang berkaitan dengan industri pembinaan, menyelaras dan mengurus program latihan untuk peserta. PUNB, bersama-sama dengan MRT Corp, akan ditugaskan untuk memilih peserta program.
MRT Corp kemudiannya telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman dengan PUNB dan CIDB Malaysia bagi mewujudkan kerjasama ke arah membangunkan graduan muda Bumiputera untuk keusahawanan, pendidikan, pelaburan dan perkhidmatan pengurusan dalam industri pembinaan dan runcit.
Para graduan telah dianugerahkan sijil sebagai pengiktirafan pencapaian mereka di dalam program ini.







