Satu seminar perkongsian ilmu telah dijalankan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) untuk PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa) pada 29 Januari 2019.
MRT Corp telah dijemput ke pejabat PLANMalaysia di Jalan Dungun, Bukit Damansara untuk sesi perkongsian ilmu mengenai terowong dan pembinaan stesen bawah tanah untuk Projek MRT.
Seminar yang berlangsung selama setengah hari itu adalah di atas permintaan PLANMalaysia pada Disember 2018 dalam usaha mereka untuk memahami proses pembinaan dan aspek-aspek yang penting dalam persediaan mereka untuk ‘Garis Panduan Pembangunan Stratum dan & Kajian Kes’.
Seramai 18 warga kerja dan perunding PLANMalaysia telah menghadiri seminar dan diketuai oleh Rozita Hamit, Timbalan Pengarah II Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan PLANMalaysia.
Lima pembentangan telah disampaikan oleh warga kerja MRT Corp, yang merupakan pakar dalam bidang masing-masing, iaitu Pemilihan Jajaran (oleh Tan Mun Kit), Pemilihan Tapak Bawah Tanah: Aspek Geo (Ir Khoo Chee Min), Pertimbangan Reka Bentuk untuk Stesen dan Terowong (Aspek Senibina oleh Aaron Tang Tjee Long dan Aspek Mekanikal dan Elektrikal oleh Ir Rafidah Ahmad), Pembinaan Bawah Tanah (Terowong oleh Blaise Mark Pearce dan Stesen oleh Ahmad Safuan Ahmad Radzi) dan Zon Perlindungan Keretapi (oleh Muhammad Zulqarnain Ismail).
Menurut Rozita, garis panduan tersebut yang sedang disediakan oleh PLANMalaysia adalah sebagai rujukan bagi pihak berkuasa tempatan, para pemaju dan pihak berkepentingan untuk melaksanakan pembangunan bawah tanah terutama tentang pengenalan undang-undang baru dalam pengambilan tanah bawah tanah.
Garis panduan ini penting bagi pihak berkuasa tempatan semasa menilai penyerahan” Kebenaran Merancang”.
Para hadirin juga telah dibentangkan dengan kajian kes dan cabaran sebenar yang dihadapi oleh MRT Corp dalam pembinaan kedua-dua laluan MRT, dan bagaimana MRT Corp mengatasi cabaran pembinaan tersebut.
Sesi taklimat berakhir dengan kedua-dua MRT Corp dan PLANMalaysia menyatakan sokongan mereka dalam memberikan kerjasama sepenuhnya untuk usaha di masa hadapan.















