Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menganjurkan program integriti yang julung kalinya pada 28 Mac 2016.
80 kakitangan MRT Corp yang terdiri daripada Barisan Kepimpinan, Pengurus Kanan dan Pertengahan syarikat telah menghadiri acara ini yang berlangsung di Auditorium Perak, ibu pejabat MRT.
Program integriti yang merangkumi tiga sesi, dianjurkan oleh Unit Integriti MRT Corp yang telah ditubuhkan baru-baru ini, untuk memberikan kesedaran tentang kepentingan integriti di dalam sesebuah organisasi.
Sesi pertama menampilkan seorang bekas majistret yang telah dipenjarakan untuk sabitan rasuah. Sebuah ucapan juga telah diberikan oleh Ketua Pesuruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Program ini bermula dengan bacaan doa oleh Ketua Keselamatan, Kesihatan, Pekerjaan dan Persekitaraan MRT Corp Encik Yusof Kasiron dan diikuti oleh kata-kata aluan oleh Ketua Pegawai Integriti MRT Corp, Dato’ Zainal Adam.
Tibalah gilaran Encik Mohd Firdhaus Ramlan, pula menyampaikan ucapan. Beliau berkongsi pengalaman beliau dari seorang majistret di Kuala Krai, Kelantan sehingga menjadi seorang banduan yang telah dipenjarakan selama tiga tahun di Kajang.
Beliau menceritakan bagaimana beliau telah ditangkap dan disabitkan kerana membabitkan diri dengan seorang penagih dadah, dimana penagih tersebut sepatutnya dihukumkan penjara tetapi dilepaskan dengan bon berkelakuan baik.
Firdhaus juga bercerita dan berkongsi sebab-sebab dan keadaan yang menyebabkan beliau terbabit dalam aktiviti rasuah.
Selepas waktu rehat, Tan Sri Abu Kassim memulakan ucapan beliau dengan sesi soal tanya secara santai.
Beliau menekankan bahawa bilangan kes-kes rasuah di Malaysia berkurang disebabkan oleh peningkatan dan pemudahan proses-proses kerajaan. Salah satu contoh yang diberikan ialah Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, dimana disebabkan proses permohonan pasport dan lesen jalan raya menjadi semakin mudah, kes-kes rasuah yang berkaitan sebelum ini dapat dihapuskan.
Sebelum mengakhiri sesi, beliau telah mengingatkan para hadirin tentang mengetahui arah tuju integriti syarikat dan untuk sentiasa melakukan perkara yang betul. “Integriti perlu ada di dalam hidup masing-masing pada setiap masa,” kata Tan Sri Abu Kassim.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Dato’ Sri Shahril Mokhtar kemudiannya dijemput untuk mengetuai pelafazan Ikrar Integriti, diikuti oleh kesemua hadirin.
Acara ini juga telah menyaksikan perlantikan 13 Duta Integriti. Dibawah program yang diperkenalkan oleh Unit Integriti ini, Duta Integriti akan menjadi orang tengah bahagian masing-masing dengan unti integriti berkenaan perkara-perkara yang berkait dengan integriti.
Acara in berakhir dengan pelancaran portal integriti MRT dengan harapan ia akan menjadi platform untuk kakitangan MRT Corp bertanyakan perkara berkenaan etika dan integriti di dalam organisasi.







