SEMPENA permulaan kerja-kerja pembinaan untuk Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) pada akhir Jun 2016, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menjadi tuan rumah kepada para media untuk lawatan ke Pusat Latihan KVMRT, Sungai Buloh pada 10 Jun 2016.
Lawatan ke Pusat Latihan ini adalah untuk mendidik media tentang inisiatif-inisiatif Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaraan (SHE) yang MRT Corp amalkan terutamanya untuk Laluan SSP.
Sebelum tinjauan bermula, Ketua Bahagian Pusat Latihan KVMRT, MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd, Encik Thava Kumar, telah memberikan maklumat ringkas tentang langkah-langkah keselamatan yang patut diambil semasa di lokasi. Beliau menyatakan bahawa untuk lawatan hari ini, terdapat beberapa kawasan yang tertakluk di dalam kawasan yang memerlukan hadirin memakai alat pelindung diri. Antara alat pelindung diri yang wajib dipakai adalah topi perlindungan, high visibility vests dan kasut but khas.
Selepas selesainya ucapan Encik Thava, Pengarah Piawaian dan Pematuhan MRT Corp, Tuan Syed Mahdhar Syed Hussain telah menerangkan tentang langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh MRT Corp. Beliau juga menjelaskan perbezaan di antara projek bersaiz besar dan projek mega. Piawaian dan nilai diantara kedua-duanya adalah berbeza maka kaedah untuk membina projek-projek ini juga berlainan.
Di samping itu, Tuan Syed menghuraikan bahawa MRT Corp telah memperkenalkan lima projek inisiatif yang berkait hubung dengan SHE bermatlamat untuk mengurangkan kemalangan yang berlaku di tapak kerja Projek MRT.
Lima inisiatif yang dinyatakan adalah: pengurusan reka bentuk binaan, spesifikasi dan tanggungjawab pembinaan, skim prestasi SHE, skim paspot keselamatan dan program master trainer.
Selepas ucapan Tuan Syed, Pengarah Projek Laluan SSP, MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, Encik Param Sivalingam telah mengetuai para media untuk lawatan sekitar pusat latihan tersebut.
Beliau bermula dengan mempersembahkan sebuah latihan scaffolding. Sebelum memulakan aktiviti ini, risiko-risiko utama telah dikenalpasti iaitu bekerja di tempat tinggi dan mengangkat barangan menggunakan kren. Master Trainer Pusat Latihan MRT, MMC Gamuda (PDP) Sdn Bhd Encik Ahmad Nazari telah menunjukkan kepada para hadirin langkah-langah yang perlu diambil ketika bekerja di tempat yang tinggi.
Lifting Master Trainer MMG Camuda (PDP) Sdn Bhd Encik Kunaselan Krishnan pula membuat sebuah demonstrasi kerja mengangkut yang digunakan oleh kren untuk mengangkat barang-barang berat. Adalah penting untuk memastikan terdapatnya komunikasi di antara individu yang mengoperasi kren dan individu yang memberikan arah.
Encik Param kemudiannya membawa media untuk meninjau bahagian pameran. Beliau menerangkan komponen-komponen yang sedang dipamerkan.
Lawatan ini berakhir dengan sidang media yang dihadiri oleh Tuan Syed, Encik Param dan juga Pengarah Projek MRT Laluan SSP, Dato’ Amiruddin Ma’aris.









