AHLI Parlimen Batu, YB P. Prabakaran, telah melawat Pusat Informasi Mass Rapid Transit (MIC) Jalan Sultan Azlan Shah pada 21 Ogos 2018 untuk sesi taklimat berkenaan perkembangan Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) khususnya kawasan pilihan raya beliau yang meliputi pakej kerja V203 dan bahagian bawah tanah MRT Laluan SSP.
Sesi ini bermula dengan kata-kata aluan oleh Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal-Ehwal Pihak Berkepentingan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Dato’ Najmuddin Abdullah.
Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Pengurusan Pihak Berkepentingan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd Encik Mohar Zainal Abidin kemudiannya telah menyampaikan maklumat tentang bahagian bertingkat Projek. Pengurus Perhubungan Awam dan Pengurusan Pihak Berkepentingan MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) Mr Steven Austin pula menyampaikan taklimat mengenai bahagian bawah tanah projek.
Antara topik yang dibincangkan adalah pengurusan trafik di mana rancangan semasa dan masa hadapan diketengahkan. Pihak MRT Corp, MMC-Gamuda dan MGKT memberitahu Prabakaran bahawa langkah-langkah mitigasi telah diambil bagi mengurangkan impak kegiatan pembinaan kepada orang awam.
Ahli Parlimen tersebut juga telah berkongsi kebimbangannya tentang pengurusan trafik, keadaan jalan raya dan kesulitan lain yang dihadapi orang awam dimana pihak MRT Corp, MMC-Gamuda dan MGKT sedang bekerjasama rapat untuk memastikan kebimbangan ini terurus.
Semasa sesi ini, Prabakaran juga bertanya mengenai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan di kawasan ini. Pihak MMC-Gamuda memberitahu bahawa aktiviti CSR yang dijalankan pada kebiasaannya akan melibatkan pihak berkepentingan yang terjejas oleh Projek MRT dan memberi beberapa contoh CSR yang telah dijalankan seperti SK Kampung Batu dan SMK (P) Jalan Ipoh.
Sesi ini telah berakhir dengan minum petang dihidangkan kepada para hadirin.





