MASS Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah meraih kemenangan di Asia Geospatial Excellence Awards 2017. Organisasi ini telah memenangi 2 anugerah di Majlis Gala dan Malam Anugerah yang telah diadakan di Marriott Putrajaya pada 23 Ogos 2017.
Tetamu khas majlis gala ini adalah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Dr Hamim Samuri.
Anugerah pertama yang MRT Corp berjaya memenangi adalah dalam Kategori Infrastruktur Pengangkutan untuk pelaksanaan Pemodelan Maklumat Bangunan Tahap 2 (Building Information Modelling Level 2) bagi reka bentuk dan pembinaan Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).
Pemodelan Maklumat Bangunan merupakan proses mencipta dan menguruskan maklumat pembinaan projek sepanjang kitaran hidup projek itu, di dalam persekitaran maya. Ia membolehkan pengguna untuk menggambarkan, bekerjasama dan menganalisis setiap aspek dalam reka bentuk kejuruteraan.
Anugerah kedua yang dimenangi oleh MRT Corp ialah dalam Kategori Kejuruteraan Digital untuk Sistem Maklumat Geografi (Geographical Information System) bagi Laluan SSP. Kemenangan ini merupakan kerjasama di antara MRT Corp, MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd dan AECOM Asia.
Sistem Maklumat Geografi merupakan satu alat pemetaan lanjutan yang direka bentuk untuk memapar, menyimpan, memanipulasi, menganalisis dan membentangkan semua jenis data geografi. Ia membolehkan data dari semua bahagian, untuk disatukan dari segi akses kepada maklumat dan dibentangkan pada satu peta interaktif yang membolehkan keputusan dibuat dan soalan sukar dijawap dengan lebih cepat dan berkesan.
Anugerah-anugerah ini memberikan pengiktirafan kepada inovasi-inovasi dan amalan yang ulung dalam maklumat geografi dan teknologi.
Mengulas tentang pencapaian ini, Timbalan Pengurus Besar Perancangan dan Reka Bentuk MRT Corp Encik Yeap Beow Heng berkata beliau terkejut tetapi bangga dengan pencapaian ini. Sistem ini yang bermula pada awal 2016, telah membuahkan hasil dan kerja-kerja diteruskan untuk menambahbaikkan lagi sistem ini.