Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) membuat kunjungan hormat ke pejabat YB Hee Loy Sian pada 29 Januari 2019 di Pusat Khidmat Rakyat DUN Kajang untuk sesi taklimat berkenaan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan kemajuan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).
Sesi taklimat tersebut adalah sebahagian daripada usaha perjumpaan pihak berkepentingan MRT Corp dengan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang terpilih sepanjang kedua-dua laluan MRT sejak Pilihan Raya Umum pada Mei 2018.
Kunjungan hormat ini diketuai oleh Dato’ Najmuddin Abdullah, Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan MRT Corp dan dibantu oleh Rakan Pelaksana Projek, MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd, yang diketuai oleh Encik Zamri Hassan, Ketua Perhubungan Awam dan Pengurusan Pihak Berkepentingan.
Semasa sesi tersebut, Dato’ Najmuddin memberi taklimat kepada YB Hee tentang kemajuan terkini Projek MRT, termasuk MRT Laluan SBK yang siap dibina pada 2017 serta kemajuan pembinaan terkini Laluan SSP.
Sebahagian daripada MRT Laluan SBK terletak dalam kawasan pilihan raya YB Hee (Kajang).
YB Hee turut berkongsi pandangan beliau mengenai keprihatinan dan maklum balas yang diterima daripada penduduk-penduduk Kajang tentang Projek MRT.
Sesi tersebut berakhir dengan sesi gambar berkumpulan di pejabat YB.



