Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menganugerahkan 50 pakej kerja kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera semasa sesi undian yang diadakan pada 4 Disember 2013. Sesi undian ini diadakan di bangunan Lembaga Pertubuhan Peladang di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur.
Pakej-pakej kerja yang diberikan bernilai kira-kira RM20 juta.
Syarikat-syarikat yang menyertai sesi undian ini adalah yang telah disenarai pendek daripada sejumlah 471 kontraktor. Syarikat-syarikat ini merupakan kontraktor Gred G1 hingga G4.
Dibawah sistem gred yang ditentukan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), kontraktor-kontraktor Gred G1 layak untuk mendapat pakej kerja yang bernilai sehingga RM200,000, sementara mereka yang mempunyai Gred G2 layak diberi pakej kerja yang bernilai antara RM200,001 dan RM500,000. Kontraktor Gred G3 pula layak untuk mendapat pakej kerja bernilai antara RM500,001 dan RM1,000,000 manakala kontraktor Gred G4 layak diberi pakej kerja yang bernilai antara RM1,000,001 dan RM3,000,000.
Sesi undian ini adalah yang kedua dianjurkan oleh MRT Corp. Sesi yang pertama telah diadakan pada Januari tahun ini.
Antara kerja-kerja yang diberikan adalah untuk saliran, struktur, jalan raya, sivil, landskap dan kerja-kerja umum.
Undi dicabut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, Pengarah MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd Dato’ Ir Azmi Mat Nor, Encik Azhar Basiron yang merupakan Timbalan Setiausaha Bahagian di Bahagian Pembangunan Usahawan, Kementerian Kerja Raya dan Puan Zawati Yusrah Zainuddin yang merupakan Ketua Penolong Pengarah, Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).
Wakil-wakil Projek MRT adalah kontraktor pakej kerja iaitu Sunway Construction Sdn Bhd, IJM Construction Sdn Bhd dan Trans Resources Corporation Sdn Bhd yang juga telah mencabut undi untuk kontrak-kontrak yang diagihkan.





