Sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) untuk membentuk kerjasama strategik dalam membangunkan bandaraya Kuala Lumpur menjadi “Bandar untuk Semua”, di dalam sebuah majlis ringkas yang diadakan di Menara DBKL 1, pada 5 April 2022.
Melalui kerjasama ini, MRT Corp dan DBKL komited dalam memastikan kemampanan dan kemakmuran bandaraya Kuala Lumpur. MoU itu mengukuhkan kerjasama yang telah lama terjalin di antara kedua-dua entiti itu, dengan matlamat bersama untuk menyediakan mobiliti yang cekap dan mesra alam untuk penduduk Kuala Lumpur.
Hadir dalam majlis menandatangani MoU tersebut ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Hj. Mahadi Che Ngah bagi pihak DBKL, manakala Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim menandatangani bagi pihak syarikat.
Turut hadir sebagai saksi majlis menandatangani perjanjian tersebut ialah Menteri Wilayah Persekutuan YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim.
Dalam peranannya sebagai perancang bandar Kuala Lumpur, DBKL telah membangunkan Deraf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (Draf PSKL2040), yang merangkumi rancangan 20 tahun akan datang dalam membangunkan bandar Kuala Lumpur secara strategik.
MRT Corp dalam mandatnya membangunkan projek MRT3, komited dalam menyokong DBKL ke arah mencapai visi “Bandar untuk Semua” untuk Kuala Lumpur, mendorong anjakan yang ketara dalam penggunaan pengangkutan awam di Kuala Lumpur seperti yang dicita-citakan dalam Deraf PSKL2040.











