SEBUAH majlis menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) telah berlangsung di Lanai Kijang, Kuala Lumpur pada 12 Ogos 2016.
MOU ini telah ditandatangani untuk mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara MRT Corp dan CGC yang akan memberikan bantuan dan menyediakan pembiayaan yang sedia ada untuk sub-kontraktor Bumiputera yang layak dan telah memenangi kontrak berkenaan dengan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP).
MOU ini telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah Eksekutif MRT Corp, Dato’ Sri Shahril Mokhtar dan Presiden/Ketua Pengarah Eksekutif CGC Encik Mohd Zamree Mohd Ishak.
Majlis ini telah disaksikan oleh Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri YB Dato’ Sri Mustapha Mohamed dan Pengerusi CGC Dato’ Agil Natt.
Kerjasama antara MRT Corp dan CGC akan memberi peluang bagi sub-kontraktor Bumiputera untuk mendapatkan pembiayaan bagi menjalani kerja-kerja berkait hubung dengan Laluan SSP.
Ia merupakan kerjasama kedua antara MRT Corp dengan CGC, di mana sebelum ini, CGC telah terlibat dalam MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK). Untuk Laluan SBK, CGC telah menjadi rakan kongsi pilihan bagi kontraktor Bumiputera Gred G1-G4.
Di dalam kerjasama pertama, bilangan kontraktor Bumiputera telah melepasi sasaran 43% yang ditetapkan oleh Kerajaan di mana ianya adalah 50% daripada kontrak diberikan.
Bagi Laluan SSP, MRT Corp telah menyaringi 1,000 syarikat tetapi hanya 700 syarikat Gred G1-G6 akan dapat kelayakan pembiayaan daripada dana RM 900 juta yang diperuntukkan.
Shahril berkata produk pembiayaan CGC bagi kontraktor Bumiputera adalah amat penting dalam memastikan kejayaan penyertaan Agenda Bumiputera MRT Corp untuk kontraktor PKS Gred G1-G6.
Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB-i) yang dikendalikan oleh CGC adalah tabung penting yang memastikan pembiayaan kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera yang telah dianugerahkan kontrak oleh Kerajaan dan Syarikat berkaitan Kerajaan.
Satu sesi sidang akhbar telah dianjurkan selepas MOU dan makan tengah hari dihidangkan kepada para hadirin.









