BERLATAR belakangkan irama lagu Hari Raya dan tetamu yang mengenakan pakaian baju kurung dan baju melayu berwarna-warni, suasana ceria Hari Raya dapat dirasai oleh semua di Majlis Rumah Terbuka Mass Rapid Transit Sdn Bhd (MRT Corp) pada Sabtu, 16 Ogos 2014.
Majlis itu yang diadakan di Menara Matrade dihadiri kira-kira 1,000 orang tetamu. Selain kakitangan MRT Corp dan keluarga mereka, warga kerja MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd (PDP), MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, kontraktor pakej kerja Projek MRT dan konsultan projek turut memeriahkan lagi majlis.
Majlis bermula pada jam 12.00 tengah hari dengan ketibaan Datuk Wira Azhar Abdul Hamid dan isteri Datin Aminahtun Elizeth Ibrahim.
Selain menikmati juadah makanan yang enak yang disediakan di ‘warung-warung’, tetamu dihiburkan dengan persembahan oleh sekumpulan murid sekolah daripada Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Kajang. Sekolah tersebut terletak bersebelahan dengan Stesen MRT Kajang yang sedang dibina.
Mereka menyanyikan empat buah lagu, termasuk “My Favourite Things” daripada filem klasik The Sound of Music. Mereka juga mempersembahkan sebuah tarian yang dipanggil Tarian Aidilfitri.
Rumah Terbuka Hari Raya disuntik dengan lebih makna dengan kehadiran anak-anak yatim daripada Yayasan Anak Anak Yatim Wardatul Jannah dan Rumah Bakti Nur Syaheera. MRT Corp juga memberi sumbangan derma RM2000 kepada kedua-dua rumah ini, yang terletak di sepanjang laluan MRT.
Tetamu diberi peluang untuk bergambar di dinding foto (photowall) khas yang memaparkan gambaran pelukis kawasan platform Stesen MRT Muzium Negara yang bakal dibina. Bertambah menarik, terdapat kad-kad “call-out” yang tertulis pelbagai mesej lucu dan gembira sebagai prop untuk tetamu semasa bergambar. Terdapat juga keratan kadbod yang memberi ilusi seolah-olah gambar yang diambil telah dimuatnaik di Facebook dan Instagram.
Bagi memperingati mereka yang terkorban dalam MH17 dan MH370, para tetamu diberi peluang untuk menulis mesej di atas kad yang kemudiannya digantung di ruangan khas di dalam dewan.























