Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MMC Gamuda), kontraktor pakej bawah tanah untuk Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang, telah menganjurkan Hari Terbuka di tapak pembinaan Stesen MRT Merdeka pada 24 Januari 2014.
Hari Terbuka tersebut diadakan khas untuk beberapa pihak berkepentingan di sepanjang Jalan Hang Jebat, di mana terletaknya Stesen MRT Merdeka yang akan datang. Kesulitan yang disebabkan kerja-kerja pembinaan tidak dapat dielakkan dan MRT Corp serta MMC Gamuda ingin memastikan bahawa pihak yang berkepentingan ini sentiasa dimaklumkan tentang status terkini serta aktiviti-aktiviti pembinaan.
Semasa majlis hari terbuka, tetamu bukan sahaja diberi taklimat tentang kemajuan kerja-kerja pembinaan, tetapi juga apa yang bakal berlaku dalam enam bulan akan datang. Pihak-pihak berkepentingan ini mengambil peluang untuk bertanyakan soalan, terutamanya tentang perkara-perkara berkaitan keselamatan dan pengurusan trafik.
Kudapan tengah hari disediakan untuk para tetamu dan mereka ditunjukkan kerja-kerja yang sedang dijalankan di tapak pembinaan itu.
Stesen Merdeka merupakan salah satu daripada tujuh stesen bawah tanah untuk Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang, bertempat sebelah Stadium Merdeka.













