SEBUAH taklimat tentang kemajuan Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang- Putrajaya (Laluan SSP) telah dianjurkan untuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 23 Mei 2017 oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, sebagai rakan pelaksana projek ini.
Antara mereka yang hadir ialah Encik Chua Tian Chang (Ahli Parlimen Batu), Dr Tan Seng Giaw (Ahli Parlimen Kepong), Cik Elizabeth Wong (Ahli Parlimen Bukit Lanjan), Puan Noor Hanim Ismail (Adun Seri Serdang) dan Encik Sivarasa K. Rasiah (Ahli Parlimen Subang).
Ahli Majlis dan para pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Perbadanan Putrajaya turut menghadiri sesi ini.
Mereka telah dijemput menghadiri taklimat memandangkan kawasan mereka terletak di sepanjang jajaran Laluan SSP dan kawasan pilihan raya mereka akan terjejas akibat kerja pembinaan.
Sesi ini telah diadakan di Pusat Latihan KVMRT, Sungai Buloh dan Pengarah Projek Laluan SSP MRT Corp Dato’ Amiruddin Ma’aris telah menyampaikan taklimat tersebut.
Selain itu, Amiruddin menerangkan bahawa keseluruhan pembinaan kini berada di 7.5% siap. Jelas beliau, angka ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa bantuan dan usaha yang diberikan dari pelbagai pihak berkepentingan termasuklah Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Majlis PBT semasa fasa awal pembinaan projek.
Melihat pula kepada bahagian bawah tanah, laluan kini berada di tahap 8.7% siap.
Amiruddin menyatakan bahawa lapan mesin pengorek terowong (TBM) sedang dibaikpulih. Kesemua TBM ini pernah digunakan bagi pembinaan MRT Sungai Buloh-Kajang dan akan digunakan semula untuk Laluan SSP apabila kerja membaikpulih mesin selesai dijalankan.
Empat TBM dijangka akan dilancarkan untuk kerja mengorek terowong pada suku pertama tahun hadapan.
Sejumlah 12 TBM akan digunakan untuk menggali terowong, lapan daripadanya dibaikpulih manakala empat mesin yang lain adalah mesin pengorek terowong baru yang sedang diperoleh oleh Kontraktor Kerja Bawah Tanah Laluan SSP, MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd.
Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Majlis PBT, disertai oleh pihak media, kemudiannya meneruskan lawatan ke tapak pembinaan di Prima Damansara. Semasa di tapak pembinaan, mereka telah diberi taklimat oleh Pengurus Pembinaan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd Encik Danny Tan dan juga Pengurus Keselamatan Sunway Construction Group Berhad Encik Ruslan Anwar.
Tan berkata tapak ini merupakan tapak di mana tiang MRT yang pertama untuk Laluan SSP disiapkan dan kini sedia untuk menyokong jejambat bertingkat.
Taklimat ini diakhiri dengan sidang akhbar yang diadakan di pusat latihan sebelum para tetamu menjamu makan tengah hari yang telah disediakan.







