Bersempena permulaan operasi, MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang pada hujung tahun ini, Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) telah menganjurkan satu taklimat umum bagi laluan kedua iaitu MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) kepada Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Bandar, Yang di-Pertua (YDP) dan Ahli- ahli Majlis.
Taklimat ini, yang diadakan pada 13 Mei 2016 di Pusat Informasi MRT Jalan Sultan Azlan Shah, merupakan salah satu daripada usaha untuk memperkenalkan laluan baru kepada lokasi-lokasi yang berada di sepanjang jajaran.
MRT Corp dan MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) telah bersama-sama menjayakan taklimat ini.
Antara Ahli Parlimen yang hadir adalah:
· YB Dr Tan Seng Giaw: Kepong
· YB Tuan Chua Tian Chang: Batu
· Encik Mohd Nor Ibrahim mewakili YB Dato’ Hj. Johari Bin Abd Ghani: Titiwangsa
· YB Tuan Fong Kui Lun: Bukit Bintang
· YB Tuan Tan Kok Wai: Cheras
· YB Puan Teresa Kok Suh Sim: Seputeh
· YB Dr Ong Kian Ming: Serdang
Turut hadir ke taklimat tersebut adalah kakitangan kerajaan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Perbandaran Putrajaya (PPJ). Taklimat ini bertujuan untuk membantu menyebarkan kemajuan laluan SSP yang terkini kepada pihak-pihak yang terlibat.
Laluan SSP telah diluluskan oleh Kerajaan pada 7 Oktober 2015 dan adalah laluan MRT yang kedua dibina. Laluan ini akan memberikan perkhidmatan kepada koridor yang mempunyai lebih kurang 2 juta penduduk dari Sungai Buloh ke Putrajaya dan merangkumi Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, KLCC, Tun Razak Exchange, Kuchai Lama, Seri Kembangan dan Cyberjaya.
Sebelum taklimat dimulakan, Encik Mohar Bin Zainal Abidin, Pengurus Perhubungan Awam dan Pengurusan Pihak Berkepentingan MMC Gamuda KVMRT mengambil peluang untuk memperkenalkan para hadirin dan memberikan pengenalan ringkas mengenai Projek.
Pengarah Projek MRT Corp Laluan SSP Dato’ Amiruddin Maaris kemudiannya memberi penjelasan mengenai kemajuan projek. Amiruddin turut memperkenalkan pakej kerja yang terlibat bagi Laluan SSP. Pakej kerja V201 sehingga V210 akan dianugerahkan kepada kontraktor yang berjaya untuk mengendalikan pembinaan jejambat-jejambat Laluan SSP.
Selepas taklimat, Amiruddin mengalu-alukan sesi soal jawab mengenai Laluan SSP kepada Ahli-ahli Parlimen. Antara isu yang dibangkitkan adalah kesesakan lalu lintas, keselamatan dan kesihatan, impak alam sekitar dan integrasi bas pengantara.
Hidangan makan tengah hari untuk Ahli Parlimen dan kakitangan kerajaan mengakhiri taklimat tersebut.







