PENAMAAN Stesen Semantan sebagai Stesen Manulife Semantan telah diraikan pada 21 Ogos 2017.
Sebuah majlis pelancaran telah dilangsungkan diikuti oleh minum ucap selamat di Stesen Manulife Semantan itu sendiri.
Majlis ini telah dianjurkan oleh Manulife Malaysia (Manulife) sempena kejayaannya menjadi pelesen Program Hak Penamaan Stesen Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp).
Program ini membenarkan nama, logo atau penjenamaan produk pelesen untuk dikaitkan dengan sesebuah stesen.
Empat lesen telah dimiliki setakat ini; pemilik tiga lesen lagi adalah Pavillion Pusat Bandar Damansara, Pavillion Kuala Lumpur Bukit Bintang dan Aeon Maluri.
Dato’ Haris Fadzilah Hassan, Pengarah Komersial dan Pengurusan Tanah telah mewakili MRT Corp untuk majlis ini.
Semasa sidang media yang diadakan, beliau berkata pelesen-pelesen daripada Program Hak Penamaan Stesen ini akan mendapat manfaat dari jumlah penumpang yang tinggi dan juga keterlihatan stesen-stesen MRT yang tinggi.
Haris juga berkongsi yang Manulife bukan hanya akan mendapat manfaat daripada pendedahan sebuah stesen tetapi juga peluang untuk jenamanya kelihatan sepanjang jajaran dimana Stesen Manulife Semantan akan dapat dilihat di atas semua peta di stesen dan tren, dan juga disebut semasa pengumuman di dalam tren.





