Seramai 60 pegawai teknikal Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), yang merupakan peserta Kursus Pendedahan Reka Bentuk Sejagat Tahun 2019 anjuran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, telah melawat kemudahan MRT pada 10 Julai 2019.
Lawatan ke Stesen MRT Kajang ini adalah bertujuan untuk para peserta mempelajari kemudahan-kemudahan yang telah disediakan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Ini adalah bersempena objektif kursus, iaitu untuk meningkatkan pemahaman para peserta mengenai konsep “Reka Bentuk Sejagat” di samping membantu mereka memperoleh kemahiran untuk memahami proses melaksanakan audit akses OKU untuk dipraktikkan di PBT masing-masing kelak.
Lawatan ini bermula di aras ruang legar Stesen MRT Kajang di mana Eksekutif Muda Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Maharezan Mahadzir menyambut kedatangan para delegasi.
Pengurus Projek Kanan Reka Bentuk dan Perancangan MRT Corp Encik Mohd Fadzil Abd Hadi kemudiannya menyampaikan taklimat tentang kemudahan yang disediakan di stesen MRT untuk memenuhi keperluan OKU seperti laluan jalan khas yang lebih luas di pintu kutipan tambang automatik bagi individu yang berkerusi roda, tandas OKU dan jubin sentuhan bagi mereka yang cacat penglihatan.
Perkongsian diteruskan oleh Encik Fadzil berkenaan ciri-ciri keselamatan yang terdapat di setiap stesen MRT diikuti oleh penjelasan tentang prosedur kecemasan di stesen MRT.
Lawatan ini berakhir dengan pemberian cenderamata oleh pihak MRT Corp kepada wakil delegasi.









