Dalam meraikan Hari Alam Sekitar Kebangsaan, Persidangan Pengurusan Alam Sekitar Mass Rapid Transit Lembah Klang (KVMRT) 2019 telah diadakan di Pusat Latihan KVMRT, Sungai Buloh pada 5 November 2019.
Satu majlis tahunan yang telah memasuki tahun ketiga, persidangan bertemakan “Penguatkuasaan dan Memperkasakan Syarat Kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA)” ini, merupakan sokongan terhadap inisiatif Kerajaan dalam membangunkan rasa cinta yang kuat terhadap alam sekitar.
Persidangan itu telah dihadiri oleh pihak-pihak yang berkaitan dari Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), MMC-Gamuda KVMRT Sdn Bhd, Kontraktor Pakej Kerja untuk MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dan juga subkontraktornya.
Untuk memulakan persidangan, Penolong Pengurus Besar Kuarters Pekerja, Kesihatan, Alam Sekitar dan Keselamatan MRT Corp, Encik Azhar Sofah memberi ucapan alu-aluan, di mana beliau telah mengimbau kembali projek MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan Laluan SSP yang sedang dalam pembinaan, dan beliau menyatakan kegembiraan terhadap kekurangan jumlah Laporan Ketidakpatuhan (NCR) dan pemerhatian yang telah direkodkan di dalam kitaran audit yang sama, iaitu dari 211 NCR dan 174 pemerhatian dari Laluan SBK dalam kitaran audit 11, kepada 121 NCR dan 57 pemerhatian untuk Laluan SSP.
Penceramah pertama, Dr G Balamurugan dari ERE Consulting Group Sdn Bhd memberi ceramah tentang “Perjumpaan Pihak Berkepentingan dalam Projek Infrastruktur Besar”, di mana beliau berkongsi pengalamannya berkaitan dengan pelibatan pihak berkepentingan. Beliau menasihati supaya meletakkan diri sendiri di tempat pihak berkepentingan semasa berjumpa mereka, dan menekankan kepentingan perjumpaan, memandangkan ia memberi peluang untuk memaklumkan kepada pihak berkepentingan akan kesan yang berkemungkinan terjadi dan langkah-langkah pengurangan yang boleh diambil. Beliau juga menyatakan bahawa penglibatan komuniti masih berada di tahap rendah di Malaysia, dan memuji Projek MRT kerana mempunyai piawaian di atas purata dalam pelibatan pihak berkepentingan.
Prof Ir Dr Salman Leong, yang terlibat dengan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk Projek KVMRT, adalah penceramah seterusnya dengan topik “Bunyi dan Getaran bagi Bukan Teknikal”. Beliau yang kini bertugas di Institut Bunyi dan Getaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), memberikan gambaran tentang bagaimana bunyi dan getaran diukur, dan faktor-faktor yang mempengaruhinya seperti ruang terhad dan refleksi. Beliau juga menyentuh mengenai isu-isu dalam penglibatan awam mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan pengukuran bunyi dan bising, di mana beliau menekankan tentang kepentingan mengukur bunyi dasar sebelum setiap pertukaran aktiviti bagi memastikan setiap perbincangan adalah berdasarkan fakta, bukan emosi.
Tidak lama selepas itu, Tetamu Kehormat, Pengarah Jabatan Alam Sekitar W.P. Kuala Lumpur, Puan Nor Aziah Jaafar tiba untuk majlis perasmian, diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Encik Abdul Yazid Kassim dan Barisan Kepimpinan MRT Corp.
Encik Abdul Yazid memberi ucapan pembukaan, di mana beliau menyambut kedatangan kesemua tetamu dan peserta ke Persidangan Pengurusan Alam Sekitar KVMRT yang ketiga, dan menekankan semua pihak patut mematuhi syarat kelulusan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar.
Di dalam ucapan beliau semasa melancarkan majlis itu, Puan Nor Aziah mengucapkan tahniah kepada penganjur yang telah berjaya mengadakan majlis itu, terutama sekali dengan tema pada tahun ini kerana ia merupakan tema penting yang tertakluk di dalam Perintah Kualiti Alam Sekitar (Aktiviti Ditetapkan) (EIA) 2015 .
Beliau memberi peringatan bahawa Jabatan Alam Sekitar telah mengeluarkan 54 syarat kelulusan yang perlu dipatuhi oleh Pemaju – iaitu MRT Corp, dalam menjalankan kerja-kerja pembinaan di tapak projek, termasuk operasi tren. Beliau juga menekankan bahawa amalan pengurusan terbaik perlu diambil berat oleh semua kontraktor pakej kerja terutamanya semasa musim tengkujuh ini, seperti penyelenggaraan sampah atau lumpur.
Salah satu aktiviti yang dianjurkan sebelum persidangan ini adalah Nature Treasure Hunt, yang telah diadakan pada 13 Oktober 2019 di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, untuk meningkatkan kesedaran mengenai flora dan fauna. Puan Nor Aziah telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang di mana lima kumpulan teratas memenangi hadiah wang tunai. Kumpulan Guppy menjadi juara diikuti oleh Simba, Tungau, Gajah Duduk dan Tenggilling. Satu token penghargaan telah diberikan kepada Puan Nor Aziah oleh Encik Abdul Yazid selepas majlis penyampaian hadiah.
Persidangan itu diteruskan dengan penceramah ketiga, Puan Geetha P Kumaran dari Europasia Engineering Services Sdn Bhd dengan topik “Pematuhan Audit MRT Laluan SSP’. Beliau memberi gambaran mengenai keperluan audit dan bertanyakan kuiz kepada peserta untuk menguji ingatan mereka. Beliau juga memberi peringatan mengenai empat audit yang akan datang untuk Laluan SSP tahun hadapan. Beliau menegaskan bahawa pentingnya menjalankan pemantauan prestasi dan memeriksa kecekapan amalan pengurusan terbaik seperti pengurusan bahan buangan, dan menambah bahawa ianya adalah satu contoh yang mengatasi pematuhan, sesuatu yang harus dilihat oleh semua pihak dalam kitaran audit 12.
Encik Rosiskada Mohamed dari Jabatan Alam Sekitar W.P. Kuala Lumpur kemudiannya muncul dengan topik “Proses dan Prosedur Pendakwaan”. Beliau memberi penjelasan tentang proses pendakwaan ke atas kes-kes yang tidak mematuhi syarat kelulusan EIA, dan bagaiman ia melibatkan tindakan mahkamah. Beliau juga memberi contoh kes-kes utama yang melibatkan alam sekitar yang merupakan kesalahan jenayah.
Penceramah terakhir Puan Noor Fazierah Yaakub dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan memberi penyampaian dengan topik “INFRASTAR Mampan”. Ceramah beliau menyentuh tentang kepentingan dalam peningkatan kesedaran perubahan iklim, dan menekankan kepentingan kebolehlangsungan, dengan intipati utama aspek-aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial. Beliau berkata Malaysia berkongsi matlamat pembangunan kebolehlangsungan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya dalam hal-hal berkaitan peningkatan dalam piawaian pembinaan, yang juga selaras dengan Pelan Malaysia yang ke-11.
Semua tetamu dan peserta pulang dengan maklumat berharga yang akan memberi manfaat kepada Projek, terutama dalam mematuhi Syarat Kelulusan DEIA.

















