Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menjadi tuan rumah kepada delegasi International Union of Railways (UIC) yang telah melawat kilang pemasangan keretapi MRT di Rasa pada 20 November 2015.
Delegasi yang hadir terdiri daripada tetamu dari Perancis, Jepun, India, Indonesia, Malaysia dan juga Australia.
Sebelum lawatan ini bermula, para delegasi telah diberikan sedikit pengenalan mengenai projek MRT oleh Pengarah Sistem Elektrikal dan Mekanikal MRT Corp Encik Tarenjit Singh Khella di Hotel Sunway Putra.
Ketua Keselamatan Kesihatan Pekerjaan dan Persekitaran MRT Corp Encik Yusof Kasiron pula memberikan sebuah taklimat ringkas tentang langkah-langkah peningkatan keselamatan yang diamalkan oleh MRT Corp.
Selepas selesainya kedua-dua sesi tersebut, para delegasi diiringi naik ke bas untuk berlepas ke Rasa. Mereka turut disertai oleh wakil daripada bahagian Strategik Komunikasi dan Perhubungan Awam MRT Corp.
Setibanya para delegasi di kilang pemasangan keretapi MRT, Rasa, mereka telah diberikan penerangan tentang SMH Rail (syarikat yang bertanggungjawab memasang keretapi MRT) oleh Pengurus Besar Lokomotif SMH Rail Encik Eric Byrne.
Encik Bryne, kemudiannya, bersama-sama Encik Tarenjit Singh Khella dan Encik Arun Govindasamy,Penolong Pengurus Besar Keretapi Elektrik dan Peralatan Depoh & Penyelenggaraan Kenderaan MRT Corp, mengetuai delegasi untuk lawatan di persekitaran kilang pemasangan MRT.
Lawatan ini berakhir dengan makan tengah hari dihidangkan kepada para hadirin sebelum memulakan perjalanan pulang ke Hotel Sunway Putra.







