Sebuah sesi perkongsian pengetahuan mengenai Sistem Maklumat Geografi (GIS) telah diadakan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bagi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) pada 26 Jun 2019. Ianya selaras dengan usaha MRT Corp agar terus menjadi inspirasi kepada industri rel untuk melaksanakan GIS dalam usaha meningkatkan produktiviti, kecekapan dan penyampaian projek yang berkualiti.
Delegasi seramai enam orang daripada MRL telah hadir dengan diketuai oleh Ketua Jabatan – Sistem Encik Jeflysham Osman. MRL merancang untuk melaksanakan Sistem GIS untuk projek Tren Rangkaian Pantai Timur (East Coast Rail Link) dan menerusi lawatan ini, para perwakilan berharap dapat memahami bagaimana Sistem GIS dilaksanakan untuk Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).
Sesi bermula dengan Pengarah Perancangan dan Rekabentuk MRT Corp Er. Poh Seng Tiok membentangkan latar belakang Projek MRT Laluan SSP dan menjelaskan perancangan utama, cabaran reka bentuk dan proses kemajuan menggunakan teknologi Kejuruteraan Digital dalam proses reka bentuk Laluan SSP.
Sesi ini diteruskan dengan gambaran menyeluruh pelaksanaan GIS bagi Laluan SSP oleh Pengurus Kanan Perancangan dan Reka Bentuk MRT Corp, Encik Ahmad Aswadi Yusof. Antara tajuk yang dikemukakan dalam sesi beliau ialah Cabaran Projek, Aliran Kerja GIS dan Penyelesaian Masalah, Pemodelan Realiti, Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV) (Unmanned Aerial Vehicle) dan Amalan Terbaik GIS / UAV serta kajian kes mengenai Pelaksanaan GIS untuk Stesen MRT Titiwangsa.
Encik Azhar Abdul Aziz, Penolong Pengurus Besar Pengurusan Tanah MRT Corp kemudiannya memberi taklimat kepada delegasi MRL berkenaan proses pengurusan tanah dan berkongsi bagaimana maklumat tentang tanah berantara muka dengan GIS.
Lawatan tersebut berakhir dengan para delegasi mengalami sendiri pameran Realiti Maya Bilik Kawalan Stesen MRT Titiwangsa oleh Encik Chong Min Chun, Jurutera Perancangan dan Reka Bentuk MRT Corp.





