WAKIL dari kedutaan Bangladesh dan Indonesia telah melawat Kuarters Pekerja V202 AZSB Sdn Bhd Sungai Buloh bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) pada 26 April 2017.
Lawatan ini telah membolehkan Kaunselor Buruh Bangladesh Encik Sayedul Islam dan Atase Pengangkutan Kedutaan Indonesia Kapten Mochamad Abduh melihat taraf perumahan yang disediakan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bagi pekerja-pekerja yang terlibat dalam pembinaan MRT Laluan SSP.
Sebaik sahaja mereka tiba di Kuarters Pekerja, mereka telah disambut oleh Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp Dato’ Najmuddin Abdullah dan Ketua Perhubungan Awam dan Pengurusan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd Encik Zamri Hassan.
Ketua Kuarters Pekerja, Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Encik Yusof Kasiron kemudiannya telah memberi taklimat tentang inisiatif Kuarters Pekerja Projek MRT.
Dibina pada tahun 2012, sebanyak 11 Kuarters Pekerja telah dibina bagi menempatkan pekerja MRT Laluan SBK. Untuk MRT Laluan SSP pula, 13 Kuarters Pekerja telah dibina. Tiga daripadanya terletak di Sungai Buloh, sebuah di Cochrane manakala sembilan buah lagi akan dibina di Serdang, untuk menempatkan pekerja bahagian selatan jajaran MRT Laluan SSP.
Mereka yang hadir turut dibawa meninjau sebahagian Kuarters Pekerja. Diketuai oleh Pengurus Besar Kuarters Pekerja MMC-Gamuda Kapten (R) Dr Mohd Fuad Omar dan Pengarah Pematuhan dan Piawaian MRT Corp Tuan Syed Mahdhar Syed Hussain, Sayedul dan Mochamad telah dapat melihat kemudahan dan ciri-ciri yang terdapat di Kuarters Pekerja. Tahap kawalan keselamatan seperti pengimbasan cap jari dan wajah juga digunakan untuk mengawal orang yang masuk atau keluar dari Kuarters Pekerja.
Tinjauan tersebut meliputi bilik rawatan, beberapa buah bilik pekerja, dapur pusat, dan tandas dan tempat mandi pekerja.
Mengulas tentang kemudahan di Kuarters Pekerja, Sayedul berkata beliau begitu tertarik dengan kemudahan yang disediakan oleh MRT Corp. Beliau berkata kehidupan selesa yang telah disediakan oleh MRT Corp akan dapat memastikan produktiviti yang baik dari pekerja.
Lawatan tersebut berakhir dengan pemberian plak kepada wakil warga asing sebagai tanda terima kasih dari MRT Corp bersempena lawatan ke Kuarters Pekerja.











