Penembusan mesin pengorek terowong (TBM) pertama bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) pada 29 Januari 2019 di tapak pembinaan Stesen MRT Chan Sow Lin menandakan satu pencapaian penting bagi pembinaan laluan kedua Projek MRT Lembah Klang.
Bahagian terowong di antara Stesen Bandar Malaysia Utara dan Stesen Chan Sow Lin telah digali menggunakan TBM Pembolehubah Ketumpatan dan mengambil masa kira-kira 11 bulan untuk menyiapkan bahagian bawah tanah sepanjang 1.9km.
Kejayaan ini menandakan selesainya bahagian terowong yang pertama, daripada sejumlah 16 bahagian terowong yang perlu disiapkan bagi seksyen bawah tanah Laluan SSP sepanjang 13.5km.
Pencapaian itu menjadi amat bermakna kerana TBM ini, yang dinamakan S-776-VD, merupakan TBM yang menyiapkan bahagian terowong pertama bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) pada Januari 2014.
TBM ini telah menjalani pembaikpulihan di Pusing, Perak. Ia merupakan kilang pembaikpulihan TBM yang pertama dan satu-satunya di Asia Tenggara yang mampu menjalankan kerja-kerja pembaikpulihan.
Kerja-kerja penggalian terowong bagi Laluan SSP akan dijalankan pada keupayaan maksimum apabila tujuh lagi TBM dilancarkan pada tahun ini. Termasuk TBM yang telah selesai menggali terowong, terdapat lima TBM yang sedang beroperasi pada masa ini. Sejumlah 12 TBM akan digunakan dan oleh kerana terdapat 16 bahagian terowong, beberapa buah TBM akan digunakan untuk mengorek dua bahagian terowong.
Berikutan penembusan ini, TBM akan ditarik melintasi lantai kekotak Stesen Chan Sow Lin untuk memulakan semula penggalian bahagian terowong kedua ke arah utara di antara Stesen Chan Sow Lin dan Stesen Tun Razak Exchange. Apabila ia tiba di Stesen Tun Razak Exchange, TBM akan dileraikan dan dibawa keluar mengikut bahagian.













