DELEGASI dari Jabatan Lebuhraya Thailand bersama Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR Malaysia) telah melawat Pusat Informasi Mass Rapid Transit (MRT), Seri Kembangan pada 31 Oktober 2018.
Delegasi 26 orang ini telah diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kejuruteraan Jabatan Lebuhraya Thailan Encik Apichart Juntarasup dan Jurutera Awam Kanan Penyelenggaraan Fasiliti Jalan JKR Malaysia Encik Shamsulakmar Abdul Munir.
Informasi tentang MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) telah disampaikan oleh Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Leong Shen-Li yang dibantu oleh Pengurus Kanan Reka Bentuk dan Kejuruteraan MMC Gamuda KMVRT (PDP SSP) Sdn Bhd (MMC Gamuda) Dr Tey Chun Yean.
Leong telah memberi penjelasan keseluruhan tentang stuktur Projek, disamping informasi berkenaan MRT Laluan SSP.
Beliau juga telah menerangkan bagaimana Projek ini dibina bersebelahan dengan lebuh raya yang sedia ada. Dengan itu, MRT Corp, bersama Rakan Pelaksana Projek, MMC Gamuda dan Pakej Kontraktor Kerja harus memastikan gangguan trafik pada tahap yang minimum semasa fasa pembinaan Projek ini.
Malah sehingga kini, Projek ini telah berjaya mengelak dari sebarang penutupan jalan raya utama. Penggunaan platform media sosial disamping siaran media dan pengumuman penutupan jalan telah membantu kesedaran orang awam tentang lencongan jalan disebabkan Projek ini. Ia juga telah dapat mengurangkan bilangan aduan.
Lawatan ini telah berakhir dengan makan tengah hari disediakan untuk para delegasi.











