MESIN pengorek terowong Variable Density yang pertama di dunia berjaya menembus dinding Stesen Pasar Rakyat pada kira-kira jam 2.30 petang pada 9 Januari 2014.
Mesin pengorek tersebut yang dikenali sebagai Cochrane 2 telah dilancarkan dari Syaf Pelancaran Cochrane pada 22 Julai 2013. Mesin ini berjaya mengorek sejauh 1km melalui formasi geologi batu kapur dibawah terowong SMART dan Jalan Tun Razak.
Penembusan mesin pengorek terowong ini menandakan siapnya bahagian pertama terowong berkembar Cochrane dan Pasar Rakyat. Kerja-kerja pengorekan ini telah berjaya dijalankan tanpa sebarang isu besar. Peristiwa bersejarah ini telah diraikan dengan satu majlis yang dianjurkan oleh kontraktor pakej kerja bawah tanah Projek MRT, MMC Gamuda (T) Sdn Bhd.
Mesin ini telah direka dengan usahasama MMC Gamuda dan Herrenknect AG, salah sebuah syarikat pembuat mesin pengorek terowong yang terkenal di dunia. Mesin ini telah direka khas untuk mengorek melalui peralihan antara dua formasi geologi- iaitu formasi batu kapur Kuala Lumpur dan formasi Kenny Hill. Ianya mampu bertukar antara mod slurry dan mod tekanan keseimbangan tanah (earth pressure balance).
Dengan menggunakan slurry yang mempunyai ketumpatan dan kelikatan yang tinggi, mesin pengorek terowong ini dapat mengurangkan risiko kejadian lubang benam dan “blow outs”semasa mengorek dalam fomasi batu kapur.
Sehingga hari ini, kerja-kerja pembinaan bawah tanah Projek MRT Sungai Buloh-Kajang telah siap sebanyak 50% manakala pembinaan untuk projek keseluruhannya adalah sebanyak 33%. Dengan siapnya kerja pengorekan Cochrane 2, terdapat enam lagi mesin pengorek terowong yang sedang beroperasi. Semua kerja-kerja terowong dijangka siap pada pertengahan tahun 2015.







