Gerabak-gerabak pertama bagi tren MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) telah tiba di Westport, Pelabuhan Klang, Perkembangan ini merupakan satu pencapaian penting bagi pembinaan laluan kedua Projek MRT Lembah Klang.
Gerabak-gerabak tersebut terdiri daripada empat gerabak motor yang merupakan dua gerabak penghujung tren, dan empat gerabak treler yang akan membentuk dua gerabak tengah, bagi dua buah tren telah tiba di pelabuhan semalam.
Laluan SSP akan mempunyai 49 buah tren yang akan digunakan di jajaran ini apabila projek siap sepenuhnya pada bulan Julai 2022.
Gerabak tren, bogi dan komponen-komponen utama tren yang lain, akan dibuat di Changwon, Korea Selatan oleh Hyundai-Rotem Company. Syarikat ini bersama Apex Communications Sdn Bhd dan Posco Engineering Co Ltd telah membentuk HAP Consortium untuk membekalkan tren elektrik bagi Laluan SSP.
Dua set tren sedang siap dipasang di Korea dan akan dihantar ke Malaysia lewat tahun ini, manakala baki 47 set tren – termasuk dua yang telah tiba – akan dihantar ke Malaysia secara peringkat untuk dipasang di sini oleh Apex Communications. Reka bentuk luaran dan warna tren telah direka bentuk oleh MBD Technologies Design di Perancis, dan memaparkan aspek modenisme dan keharmonian bandar.
Dari Changwon, gerabak-gerabak tren yang tiba telah diangkut ke pelabuhan di Masan, di mana gerabak tren telah dimuatkan ke dalam kapal MV Da Hua V.178 pada 21 Disember 2018. Gerabak-gerabak tren kemudiannya telah sampai di Westport setelah sebulan belayar di laut.
Dari Westport, gerabak-gerabak tren akan diangkut ke kilang pemasangan tren MRT pertama di Malaysia di Rasa, Hulu Selangor, untuk dipasang menjadi tren. Kilang yang dibina khas untuk Projek MRT Lembah Klang, yang dimiliki oleh SMH Rail Sdn Bhd, turut merupakan kilang pemasangan tren MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).
Ketibaan gerabak-gerabak pertama untuk dua set tren menandakan projek Laluan SSP kini berjalan selaras dengan jadual, dengan kemajuan projek pada masa kini pada 41%.













