LEMBAGA Pengarah Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), diketuai oleh Tan Sri Dr Ali Hamsa, telah menaiki keretapi MRT dari Stesen Semantan ke Stesen Sungai Buloh pada 26 Julai 2016.
Ini merupakan kali pertama pelawat yang tidak terlibat secara langsung dengan pembinaan Projek MRT mendapat peluang untuk menaiki keretapi MRT. Perjalanan ini merangkumi keseluruhan jajaran Fasa Pertama MRT Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) yang akan mula beroperasi pada bulan Disember tahun ini.
Selain daripada Ali, lembaga pengarah yang terlibat menaiki keretapi ialah Datuk Che Mokhtar Che Ali, Dato’ Sutinah Sutan, Datuk Dr Ir Abdul Latif Mohd Som dan Encik Ahmad Zubir Zahid.
Mereka telah didampingi oleh Ketua Pengarah Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar dan Pengarah Projek Laluan SBK Encik Marcus Karakashian serta Barisan Kepimpinan MRT Corp.
Para hadirin telah berhimpun di Ibu Pejabat Korporat MRT Corp sebelum ke Stesen Semantan untuk menaiki keretapi pada 9.05 pagi.
Keretapi ini telah melalui sepanjang jejambat dan berhenti di ke semua stesen di jajaran utara laluan SBK. Di stesen Kwasa Sentral, hadirin telah dibawa untuk meninjau stesen, di mana hampir kesemua kemudahan seperti pintu tambang dan mesin tiket sudah siap dipasang dan dibina.
Keretapi kemudiannya menuju MRT Sungai Buloh di mana hadirin ditunjukkan bagaimana penumpang dapat bertukar ke Stesen Komuter Sungai Buloh dengan lancarnya.
Penumpang boleh bertukar ke keretapi KTM dari keretapi MRT dan sebaliknya dengan menggunakan aras ruang legar yang menghubungkan kedua-dua stesen.
Karakashian telah menunjukkan kemudahan tempat letak kereta bertingkat yang telah dibina di Sungai Boleh untuk pengguna KTM dan juga MRT.
Mengulas mengenai lawatan ini, Ali menyatakan kegembiraan beliau tentang pencapaian Projek ini.
“Saya berbangga melihat Projek MRT telah dapat dibina di kawasan yang padat dengan penduduk. Bukan sahaja MRT dapat digunakan oleh penduduk di kawasan ini tetap juga dapat dihubungkan dengan sistem keretapi yang lain seperti KTM. Ini akan dapat meningkatkan kadar penggunaan perkhidmatan awam di Lembah Klang yang akan dapat memanfaatkan kesemua rakyat” kata Ali selepas melawat beberapa stesen.
Beliau menambah bahawa pihak awam tidak sabar untuk operasi Fasa Pertama MRT Laluan SBK bermula pada bulan Disember tahun ini.
Keretapi ini telah kemudiannya bergerak tanpa henti ke Stesen Semantan untuk mengakhiri lawatan ini.









