Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Sdn Bhd dan Kontraktor Turnkey bagi Projek MRT Laluan Putrajaya (PY, MMC Gamuda KVMRT (PDP) SSP Sdn Bhd telah menganjurkan bersama sebuah Persidangan Alam Sekitar, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, (OSHE) 2022 pada 7 Julai 2022, di Pusat Latihan KVMRT di Sungai Buloh.
Bertema ‘Pelaburan dalam Keselamatan dan Kelestarian Alam Sekitar untuk Masa Hadapan’, persidangan tersebut dianjurkan dengan objektif untuk memupuk amalan tempat kerja yang selamat, sihat dan mesra alam. Selain itu, sebuah majlis penganugerahan telah berlangsung semasa persidangan tersebut bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan oleh pengamal Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHE) yang terlibat dalam Projek Laluan PY.
Persidangan dimulakan dengan ucapan pembukaan yang disampaikan oleh Ketua Piawaian dan Pematuhan MRT Corp, Encik Azhar Sofah. Sejurus selepas itu, pembentangan pertama telah disampaikan oleh Tuan Ir. Ts. Ahmad Rusdi Kamal dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dengan topik, ‘Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam Pengurusan Industri Pembinaan (OSHCIM)’.
Selesainya rehat pagi, Tuan Ir. Ts. Ahmad Rusdi meneruskan sesi dengan pembentangan keduanya berkenaan topik Akta OSHA 1994, membincangkan pindaan-pindaan yang dibuat pada tahun 2020.
Sejurus selepas pembentangan pertama selesai, beberapa tetamu telah tiba untuk mengambil bahagian di dalam majlis penganugerahan bagi pengamal SHE.
Hadir di majlis ialah Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (JKKP) Selangor Tuan Bahrudin Mamat, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (DOE) Kuala Lumpur Dato’ Ts Dr Haji Mohammad Ezanni Mat Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim, Pengarah Projek MRT Laluan PY Dato’ Amiruddin Ma’aris, Pengarah Projek Laluan PY MMC-Gamuda Encik Adil Putra Ahmad, Barisan Kepimpinan MRT Corp, dan wakil dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIBD) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Semasa majlis berlangsung, Encik Adil telah menyampaikan sebuah ucapan di mana beliau memuji inisiatif yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam projek dalam memupuk amalan tempat tapak kerja yang selamat dan sihat.
Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Dato’ Amiruddin. Dalam ucapannya, beliau mengulas usaha terpuji yang dilakukan oleh Kontraktor Pakej Kerja (WPC) yang terlibat dalam menyiapkan Projek Laluan PY dengan selamat, termasuk penambahbaikan terhadap waktu kerja selamat (safe manhours) projek.
Bagi mengiktiraf sumbangan mereka dalam aspek keselamatan dan kesihatan dalam Projek Laluan PY, sijil penghargaan telah disampaikan kepada wakil daripada 22 buah syarikat yang terlibat dalam projek tersebut. Pengiktirafan ini diberikan kepada semua WPC di atas pencapaian mereka dalam waktu kerja selamat terbaik tanpa Kecedaraan Masa Hilang (Loss Time Injury) sehingga Mei 2022, dan di atas komitmen dalam peranan mereka bagi meningkatkan piawaian keselamatan Projek Laluan PY.
Majlis anugerah tersebut telah juga diadakan bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka kepada projek Laluan PY dalam mencapai penilaian penarafan 5 bintang untuk Reka Bentuk dan Pembinaan, berdasarkan alat penilaian penarafan INFRASTAR yang mampan. Pensijilan telah diterima pada 28 Disember 2021.
Selesainya rehat makan tengahari, persidangan diteruskan dengan penyampai kedua, Dato’ Ts. Dr Hj Mohammad Ezzani yang membentangkan tajuk ‘Inisiatif Kerajaan Ke Arah Malaysia Mampan’.
Persidangan diteruskan dengan penyampai ketiga, , Dr Kalathini Nesadurai dari Climate Governance Malaysia yang telah menbuat pembentangan terakhir dengan topik ‘Mengapa Kita Perlu Menangani Krisis Iklim?’.
226 orang peserta yang hadir semasa Persidangan OSHE 2022 pulang dengan ilmu pengetahuan dan maklumat yang lebih lanjut dalam keselamatan, kesihatan dan alam sekitar, manakala para penerima anugerah telah menerima pengiktirafan yang sewajarnya di atas sumbangan mereka kepada projek.



















