Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menjadi tuan rumah kepada 200 pelajar dari Norway pada 18 March 2013.
Ini merupakan kumpulan pertama pelajar daripada luar negara yang mengunjungi Projek MRT. Sebelum ini, MRT Corp bersama Rakan Pelaksana Projek MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd telah menerima beberapa kunjungan daripada pelajar universiti dan institut pengajian tinggi tempatan.
Pelajar dari Norwegian University of Science and Technology, Trondheim, Norway, ini merupakan pelajar tahun ke tiga program sarjana, dengan pengkhususan dalam rekabentuk kejuruteraan sivil.
Lawatan tersebut bermula jam 2.00 petang dengan taklimat daripada Encik Amir Mahmood Razak, Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam. Video jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang dan pembinaan projek juga ditayangkan untuk membolehkan pelajar memahami aspek-aspek pembangunan projek MRT.
Jamuan ringan dihidangkan selepas sesi taklimat.
Delegasi pelajar kemudian dibawa melawat sepanjang jajaran MRT dari Jalan Semantan ke Sungai Buloh. Pelajar juga dibawa melawat Depoh Sungai Buloh di mana tren MRT akan disimpan apabila tidak beroperasi, dan juga ke Kompleks Pekerja MRT Kuarters Sungai Buloh.
MRT Corp mengalu-alukan lawatan daripada pelajar tempatan dan juga dari luar negara. Di samping memberi peluang kepada pelajar untuk melihat dengan lebih dekat projek infrastruktur terbesar di Malaysia, MRT Corp berpeluang mempromosikan projek MRT kepada mereka yang akan tentunya menggunakan perkhidmatan MRT pada masa depan.







