PESERTA-PESERTA pertama Program Usahawan Muda Projek MRT telah menamatkan latihan bagi memupuk kemahiran yang diperlukan untuk menjadi kontraktor dalam industri pembinaan.
Majlis penyampaian sijil tamat pengajian diadakan di Ibu Pejabat Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada 15 Mac 2014. Sijil disampaikan kepada 14 peserta oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Wira Azhar Abdul Hamid.
Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) Encik Dzulkifli Fadzilah.
Semasa ucapannya di majlis itu, Datuk Wira Azhar berkata beliau berharap agar semua peserta memperoleh manfaat daripada program usahawan ini dan berupaya memberikan hasil yang terbaik.
“Gunakan peluang yang ada. Bangunkan kemahiran dan kebolehan sebagai kontraktor agar dapat meningkatkan lagi taraf industri ini pada masa hadapan,” beliau berkata.
Program ini dibentuk dengan usahasama PUNB dan menjadi sebahagian daripada Agenda Bumiputera MRT Corp yang bertujuan melahirkan usahawan-usahawan Bumiputera yang berkebolehan menceburkan diri dalam industri pembinaan.
Peserta yang terlibat merupakan pemegang diploma atau ijazah, berumur antara 24 dan 31 tahun yang telah menjalani latihan selama setahun dengan PUNB. Proses pemilihan untuk program ini memerlukan peserta-peserta untuk mengemukakan resume mereka dan melalui proses temuduga. Setelah dipilih, para peserta menjalankan latihan dengan PUNB dan seterusnya bersama MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd, Rakan Pelaksana Projek untuk Projek MRT, selama enam bulan.
Dibawah program ini, peserta akan menubuhkan syarikat samada secara persendirian atau perkongsian, yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia. Syarikat-syarikat ini kemudiannya akan diberi kontrak oleh MRT Corp. PUNB akan memberikan geran untuk membantu mereka membentuk syarikat masing-masing, dimana elaun bulanan akan disalurkan.
Setakat ini, empat buah syarikat telah ditubuh dan akan diberi kontrak untuk bekerja bersama Kontraktor Pakej Kerja untuk Projek MRT.





