Set Tren Elektrik terakhir bagi MRT Laluan Putrajaya (PY) telah berjaya dihantar ke Depoh MRT Serdang pada 20 November 2021.
Set tren ke-49 tersebut, yang terdiri daripada empat gerabak telah dimuatkan ke atas empat treler pada malam sebelumnya di kilang pemasangan tren di Rasa, Hulu Selangor. Treler tersebut kemudian bergerak secara berkonvoi ke depoh di Serdang, Selangor.
Sebuah majlis telah dianjurkan untuk memperingati peristiwa penting bagi Projek MRT, juga menandakan selesainya Inisiatif Program Kolaborasi Industri (ICP): Pengilangan Tren Elektrik, sebuah usahasama di antara Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Agensi Depositori Teknologi Berhad (TDA).
Hadir di majlis tersebut ialah Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan, merangkap Ketua Offset dan Pemindahan Teknologi Yang Mulia Raja Khairul Anuar Raja Abd. Karim; Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim; Ketua Pegawai Kewangan MRT Corp Encik Shahrul Fadli Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif TDA Dr. Sharoul Jambari.
Semasa majlis berlangsung, Raja Khairul Anuar telah dijemput naik ke atas pentas untuk menekan butang mula, membolehkan gerabak terakhir diturunkan daripada treler dan kemudiannya digabungkan dengan gerabak-gerabak lain untuk melengkapkan tren elektrik yang ke-49, menandakan kejayaan penghantaran tren terakhir untuk MRT Laluan Putrajaya. Beliau diiringi Datuk Mohd Zarif dan Dr Sharoul.
Majlis tersebut turut meraikan kejayaan ICP di bawah Pakej Kerja Electric Train & Depot Equipment (SY203) di antara Kontraktor Pakej Kerja, Syarikat Hyundai-Rotem – Konsortium Apex Communication – Posco Engineering (HAP) dan SMH Rail Sdn. Bhd sebagai penerima ICP.
Di bawah program ICP MRT Laluan PY, jumlah Nilai Kredit ICP sebanyak RM7 bilion akan dapat dijana menerusi 121 inisiatif ICP. Sejumlah RM2.6 bilion nilai penyetempatan (localization) ataupun kerja subkontrak telah diwujudkan di bawah program ini, manakala pelaburan pula berjumlah hampir RM80 juta. Syarikat-syarikat Malaysia telah berjaya mendapat akses ke pasaran antarabangsa melalui inisiatif ICP dengan nilai RM88.3 juta.
Pada masa yang sama, ICP Projek MRT telah memanfaatkan lebih daripada 300 syarikat tempatan, dan memberi peluang kepada lebih daripada 4,200 individu untuk meluaskan ilmu serta kebolehan mereka melalui program latihan pembangunan modal insan.











