Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor merasmikan secara maya Majlis Pecah Tanah Projek RTS Link antara Johor Bahru dan Singapura, menandakan bermulanya kerja-kerja pembinaan bagi projek tersebut, pada 22 November 2020.
Majlis tersebut telah berlangsung di tapak bakal Bangunan Imigrasi, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di Bukit Chagar, manakala perasmian secara maya berlangsung dari Istana Bukit Serene.
Majlis Pecah Tanah bagi Projek RTS Link ini telah diubah menjadi majlis secara maya di atas nasihat Baginda Tuanku Sultan kerana Baginda Tuanku Sultan prihatin terhadap keselamatan para peserta sekiranya majlis secara fizikal dijalankan walaupun setelah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ditamatkan di Johor Bahru.
Hadir bersama Baginda Tuanku Sultan di Istana Bukit Serene adalah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor; Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Bin Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato ’Haji Azmi Bin Rohani.
Majlis bermula di Bukit Chagar dengan ucapan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Cop) Datuk Mohd Zarif Hashim dan disaksikan oleh Pengerusi Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS) yang juga merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak dan Pengarah Projek RTS Link Ir Zulkifli Mohamed.
Untuk melancarkan upacara pecah tanah tersebut, Baginda Tuanku Sultan telah menandatangani sebuah plak elektronik di Istana Bukit Serene yang mencetuskan bunyi siren dan piroteknik di Bukit Chagar. Mesin cerucuk gerek kemudian telah menggali ke dalam tanah, menandakan selesainya upacara pecah tanah.
Sebuah video mengenai projek itu kemudiannya telah ditayangkan sebelum acara rasmi berakhir.
Pada masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur YB Mohd Solihan Badri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang lain serta ketua-ketua agensi Kerajaan Negeri Johor dan Persekutuan turut menyertai majlis tersebut menerusi sidang video Zoom di Bangunan Sultan Ismail di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Menteri Pengangkutan YB Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong turut menyertai majlis tersebut menerusi sidang video Zoom di kementeriannya di Putrajaya.
Tetamu jemputan lain termasuk Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Azam Baki; Pengerusi RTS Operations Pte Ltd, Datuk Syed Mohamed Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Presiden Prasarana Malaysia Berhad, Encik Muhammad Nizam Alias yang turut menyertai majlis tersebut secara maya.
Secara keseluruhannya, seramai 200 tetamu jemputan telah meraikan peristiwa bersejarah ini dari lokasi-lokasi di Johor Bahru, Putrajaya dan lain-lain tempat di dalam negara.
MRTS ialah anak syarikat milik penuh MRT Corp dan dilantik sebagai syarikat infrastruktur Malaysia (InfraCo) Projek RTS. Peranannya ialah untuk membina dan memiliki infrastruktur RTS Link di bahagian Malaysia.









