Penghantaran tren elektrik pertama ke Depoh MRT Serdang Berjaya dilakukan pada 15 Ogos 2020, menandakan kemajuan kesediaan operasi untuk Fasa Kedua projek MRT Laluan Putrajaya.
Tren elektrik tersebut, dengan kod nama ET21 adalah yang pertama daripada 29 tren yang akan dihantar ke Depoh Serdang. Sebanyak 49 buah tren elektrik akan digunakan untuk perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya
Tren dipasang sepenuhnya di kilang pemasangan tren di Rasa, Selangor. Satu siri ujian seperti Ujian Statik & Pentauliahan dan Pengujian & Pengaktifan Dinamik Kelajuan Perlahan telah dijalankan ke atas tren untuk memastikan tren sedia untuk tahap pengujian berikutnya di depoh.
Perjalanan tiga jam dari Rasa ke Serdang tersebut melibatkan Kontrakor Serah Kunci iaitu MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd dan Kontraktor Pakej Kerja, HAP Consortium yang terdiri daripada Hyundai Rotem, Apex dan POSCO.
Depoh Serdang bakal berfungsi sebagai kemudahan penyelenggaraan khusus untuk operasi jajaran selatan Laluan Putrajaya. Depoh tersebut akan beroperasi sepenuhnya setelah operasi Fasa Dua dimulakan, yang dijangka pada bulan Januari 2023. Semasa operasi Fasa Satu, penyelenggaraan tren akan dijalankan di Depoh Sungai Buloh di mana kemudahan dikongsi bersama perkhidmatan Laluan Kajang.
Sebanyak 36 buah tren dapat di letakkan di Depoh Serdang dalam satu masa. Depoh tersebut bakal dimuatkan kilang mencuci tren otomatik untuk memastikan bahagian luar tren sentiasa bersih. Sama seperti Depoh Sungai Buloh, tren akan bergerak masuk dan keluar daripada depoh tanpa pemandu, yang dikendalikan dari Pusat Kawalan Operasi di Sungai Buloh.











