Laungan suara orang ramai menyanyikan lagu Negaraku dan lagu-lagu patriotik kedengaran dengan kuat di Stesen MRT Merdeka Laluan MRT Kajang (KG) pada 31 Ogos 2020 dengan acara yang diadakan untuk memperingati ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-63.
Dianjurkan oleh Prasarana Malaysia Berhad bersama dengan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) – pemilik aset Laluan MRT KG dan stesennya – sebagai penaja tempat, acara tersebut menyaksikan rakyat Malaysia berkumpul di stesen tersebut untuk menunjukkan semangat patriotisme mereka terhadap negara dan juga meraikan kepelbagaiannya.
Acara dimulakan dengan lagu Negaraku dimainkan di stesen, dan juga di semua stesen dan di semua tren yang dikendalikan oleh Rapid KL pada pukul 12 tengah hari.
Pengerusi Prasarana, YB Dato ‘Sri Tajuddin Abdul Rahman bersama dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana, Encik Muhammad Nizam Alias dan CEO MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim kemudian menuju ke aras ruang legar stesen di mana Rukunegara dibacakan di hadapan dinding tumpu stesen yang menggambarkan Perdana Menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman mengangkat tangan ketika mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Bersama-sama membaca Rukunegara adalah pengurusan kanan Prasarana dan Barisan Kepimpinan MRT Corp, warga kerja dari kedua-dua syarikat dan juga orang ramai di stesen tersebut.
Lagu-lagu patriotik seperti Sejahtera Malaysia dan Setia turut dinyanyikan semasa majlis tersebut.
Persembahan kilat berkumpulan (flash mob) mengenakan pakaian tradisi dari pelbagai kumpulan etnik di Malaysia kemudiannya mempersembahkan pelbagai tarian di stesen.
Majlis diakhiri dengan Tajuddin bersama-sama seluruh rombongan melaungkan “Merdeka!” sebanyak tiga kali.







