Satu delegasi dari DanaInfra Nasional Bhd berpeluang untuk menyaksikan penembusan Mesin Pengorek Terowong (TBM) di Portal Selatan MRT Laluan Putrajaya (dahulunya dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) pada 18 Jun 2020.
Delegasi yang terdiri daripada tiga pegawai berpeluang menyaksikan TBM bernombor S-796 menembusi Portal Selatan (dahulunya dikenali sebagai Taman Desa Waterpark) selepas menggorek 1.2km dari tapak pelancaran di Stesen Bandar Malaysia Utara.
Ketua Pegawai Kewangan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Encik Shahrul Fadli Omar berada bersama untuk mengiringi delegasi tersebut.
Di tapak, Ketua Terowong Bawah Tanah MRT Corp, Encik Alexander William Terry menjelaskan bagaimana TBM bergerak dari Stesen Bandar Malaysia Utara ke Stesen Bandar Malaysia Selatan hingga akhirnya menembusi Portal Selatan. Semasa pergerakan tersebut, TBM ini bergerak di bawah landasan KTM dan ERL dan juga Terowong Air SMART.
Ia merupakan pengalaman yang menggembirakan bagi para pegawai DanaInfra yang berjaya menyaksikan salah satu pencapaian Projek MRT Laluan Putrajaya.











