Sebuah tren elektrik bagi MRT Laluan Putrajaya telah memasuki trek utama buat pertama kalinya ketika ia diuji pada hari Selasa (16 Jun 2020) seawal jam 1.15 pagi.
Pasukan yang terdiri dari MRT Corp, Hyundai Rotem (sebahagian daripada HAP Consortium yang membekalkan tren elektrik), China Communication Construction Company – George Kent JV ( Kontraktor Pakej Kerja Trek), Rapid Rail Sdn Bhd dan Bombardier (Kontraktor Pakej Kerja Semboyan) menjalankan Ujian Tolok Selubung Kinematic (Kinematic Envelope Gauging Test) ke atas tren yang melalui trek MRT Laluan Kajang untuk mengukur kelebaran tren ketika ia berjalan di atas trek.
Oleh kerana profil tren bagi kedua-dua jajaran Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya adalah tidak sama, pemeriksaan ke atas profil tren Laluan Putrajaya harus dilakukan.
Pemeriksaan ini dijalankan untuk memastikan tren dapat memasuki dan berjalan melalui bahagian trek Laluan Kajang yang terdiri daripada tiga stesen iaitu Sungai Buloh, Kampung Selamat dan Kwasa Damansara, yang akan dimigrasikan untuk menjadi sebahagian daripada Laluan Putrajaya ketika ianya mula beroperasi.
Semasa ujian, tren elektrik tersebut ditarik menggunakan dua tren lokomotif daripada Depoh Sungai Buloh, di mana ianya bergerak pada kelajuan 3km/jam.
Hari pertama bagi ujian yang bakal berlangsung selama seminggu ini telah berjalan dengan jayanya, dan pasukan tersebut yakin bahawa ujian ini akan siap sepenuhnya pada hari Jumaat ini (19 Jun 2020) tanpa sebarang masalah











