Sebuah pencapaian penting bagi Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) telah dicapai pada 17 Januari 2020 apabila Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek ditandatangani dalam sebuah majlis di Kementerian Kewangan, Putrajaya.
Perjanjian di antara Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd ini memuktamadkan proses rasionalisasi kos yang berjaya mengurangkan kos pembinaan Laluan SSP kepada RM8.82 bilion dari RM39.35 bilion ke RM30.53 bilion. Pengurangan RM8.82 bilion ini merupakan penjimataan sebesar 22.4% berbanding dengan kos pembinaan asal.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Encik Abdul Yazid Kassim telah menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak MRT Corp dan disaksikan oleh Pengarah Projek Laluan SSP MRT Corp, Dato’ Amiruddin Ma’aris manakala MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) diwakili oleh Pengarah-pengarah Syarikat Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh dan Ir Dato’ Paul Ha. Majlis tandatangan perjanjian tersebut telah disaksikan oleh Menteri Kewangan Tuan Lim Guan Eng dan Menteri Pengangkutan Tuan Anthony Loke Siew Fook.
Antara penjimatan kos telah diperolehi adalah daripada perubahan struktur projek dari model rakan pelaksana projek kepada model ‘turnkey’ yang menghasilkan penjimatan yuran Rakan Pelaksana Projek dan rasionalisasi peruntukan bayaran balik, kontingensi dan wang provisional. Penangguhan dan rasionalisasi kedua-dua skop kerja bawah tanah dan bertingkat, seperti pembukaan tertunda stesen-stesen bawah tanah Bandar Malaysia Utara dan Bandar Malaysia Selatan dan penyederhanaan kemasan seni bina stesen, serta rasionalisasi skop kerja untuk kerja-kerja sistem mekanikal dan elektrikal, sebagai contoh pengurangan bilangan tren elektrik daripada 58 buah tren kepada 49 buah tren, juga telah membawa kepada penjimatan kos.
Penjimatan kos telah berjaya dicapai dengan menggunapakai pendekatan bahawa MRT Laluan SSP akan dibina secara berperingkat untuk memenuhi permintaan semasa, dan bukannya dibina sehingga ke tahap kapasiti maksimum di permulaan projek, untuk menghindari tahap hutang tidak mampan yang boleh timbul daripada projek-projek sedemikian. Walau bagaimanapun, pendekatan ini tidak akan menjejaskan kualiti, keselamatan dan kecekapan operasi sistem keretapi.
Perubahan struktur projek juga tidak akan menjejaskan sasaran asal penyertaan Bumiputera sebanyak 45% daripada nilai kontrak RM30.53 bilion, iaitu RM13.7 bilion.
Kemajuan semasa Laluan SSP adalah pada 70% di mana tarikh penyiapan Fasa Satu Laluan SSP antara Sungai Buloh dan Kampung Batu akan kekal sama, iaitu pada pertengahan 2021. Untuk penyiapan keseluruhan laluan, tarikh pengendalian kontrak telah dilanjutkan selama enam bulan hingga Januari 2023.







