Sebanyak sembilan subkontrak bagi pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) bernilai RM 2,241,378.63 telah dianugerahkan kepada kontraktor Bumiputera G1-G3 semasa sesi Cabutan Undian Bumiputera Laluan SSP yang ke-25.
Acara pengundian telah diadakan pada 15 Januari 2020 di Ibu Pejabat Korporat Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd di Bukit Damansara, yang dihadiri oleh wakil-wakil dari Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) Kementerian Kerja Raya, Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF), Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad dan MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd.
Subkontrak G1 pertama telah dianugerahkan kepada Juara Bina untuk pembekalan dan pemasangan pagar anti-pencerobohan di Stesen MRT Seri Kembangan, dengan kontrak bernilai RM 115,456.00.
Subkontrak berikutnya, bernilai RM 96,946.30 untuk pembekalan dan pemasangan rel adang besi tergalvani di Stesen MRT 16 Sierra, telah dianugerahkan kepada Tunggal Reka Bena Enterprise.
MZNZ Intelligent telah dianugerahkan subkontrak G1 ketiga, untuk pemasangan papan tanda di stesen-stesen MRT Sungai Besi dan Serdang Raya Utara, dengan kontrak bernilai RM96,140.00.
Subkontrak seterusnya, untuk pembekalan dan pemasangan tanda jalan di Stesen MRT Sungai Besi, bernilai RM 176,754.31, telah dianugerahkan kepada Zulhikma Enterprise.
Subkontrak G1 kelima telah dianugerahkan kepada Muhamad Construction Sdn Bhd untuk pembekalan dan pemasangan penghadang konkrit tunggal di Stesen MRT 16 Sierra dan Stesen MRT Cyberjaya, dengan kontrak bernilai RM 162,104.80.
Subkontrak G1 terakhir, bernilai RM 106,821.00 adalah untuk pembekalan dan pemasangan laluan pejalan kaki di Stesen MRT 16 Sierra dan telah dianugerahkan kepada Bina Zeal.
Nusa Kencana Sdn Bhd telah dianugerahkan dengan satu-satunya subkontrak G2 untuk sesi undian kali ini, untuk pembekalan dan pemasangan pagar anti-pencerobohan di Stesen MRT Serdang Raya Selatan, dengan kontrak bernilai RM 229,504.00.
Dua subkontrak G3 telah dianugerahkan, di mana yang pertama telah diberikan kepada TSA Tegoh Bina, untuk pembekalan dan pemasangan rel adang besi tergalvani di kawasan jejambat di bawah pakej V209, dari Persiarana Alpinia ke Persiaran Apec. Kontrak tersebut bernilai RM 317,512.80.
Subkontrak terakhir, untuk pembekalan dan pemasangan bebendul jalan, saluran dan pangkas tepi di bawah pakej V209 telah dianugerahkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat, dengan kontrak bernilai RM 940,139.42.





