TIGA puluh orang ahli Communities of Practice (CoP) Struktur daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melawat tapak pembinaan Stesen MRT Bandar Malaysia Utara pada 2 Oktober 2019.
Objektif lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan terhadap teknik pembinaan terowong bawah tanah dan penggunaan segmen terowong pratuang serta memperoleh pengetahuan berkenaan penggunaan teknologi Mesin Pengorek Tanah (TBM) dan reka bentuk struktur bangunan bawah tanah yang menggunakan kaedah ‘in-situ’ dan pratuang, kepada ahli-ahli CoP Struktur. Mereka ini merupakan individu di JKR yang mempunyai minat untuk menimba dan berkongsi ilmu dan pengalaman mereka dalam bidang kejuruteraan struktur.
Diadakan di Pusat Informasi MRT Bandar Malaysia, program ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Eksekutif Muda, Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Encik Maharezan Mahadzir.
Lawatan diteruskan dengan pembentangan mengenai terowong, kemajuan dan teknik oleh Pengarah Terowong Bawah Tanah MRT Corp, Encik Blaise Mark Pierce. Pembentangannya meliputi antara lain, kemajuan terowong bawah tanah MRT Laluan Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya, gambaran keseluruhan teknik terowong dan teknologi yang digunakan, jenis, pemasangan, pelancaran dan penggalian TBM, impak penggalian terowong terhadap pembangunan sedia ada serta pengeluaran pratuang dan segmen.
Pembentangan seterusnya adalah berkenaan stesen-stesen bawah tanah, yang disampaikan oleh Pengarah Stesen Bawah Tanah MRT Corp Encik Danny Lim Kong Kit. Beliau menyentuh tentang kemajuan tapak pembinaan, bahagian serta susun atur, profil geografi dan risiko-risiko tinggi berkait dengan stesen bawah tanah.
Sebuah taklimat keselamatan yang diketuai oleh Penolong Pengurus Keselamatan MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, Encik Norazhar Abd Rahman telah disampaikan kepada para peserta sebelum mereka meneruskan lawatan ke tapak pembinaan Stesen MRT Bandar Malaysia Utara.
Lawatan itu berakhir dengan sebuah token penghargaan daripada Blaise kepada Penaung Struktur CoP JKR, Ir. Mohd Noor Azudin Mansor, dan diikuti dengan gambar berkumpulan.













