Projek Mass Rapid Transit Lembah Klang telah memenangi Anugerah Projek Terbaik semasa Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2019 untuk Depoh Sungai Buloh.
Depoh Penyelenggaraan MRT di Sungai Buloh (Pakej DPT1), depoh terbesar di Asia Tenggara, telah memenangi Anugerah Projek Terbaik – Infrastruktur (Kategori Besar), kategori bagi projek yang bernilai lebih RM100 Juta.
Anugerah ini disampaikan kepada Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) sebagai Pemilik Projek, Trans Resource Corporation Sdn Bhd (TRC) sebagai Kontraktor Pakej Kerja, MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd sebagai Kontraktor Awam dan Struktur, Perunding Alam Bina Sdn Bhd sebagai Arkitek, Aecom Perunding Sdn Bhd sebagai Perunding Mekanik dan Kejuruteraan dan KPK Quantity Surveyor (Semenanjung) Sdn Bhd sebagai Juruukur Bahan Depoh Sungai Buloh semasa Majlis MCEIA 2019 di W Hotel, Kuala Lumpur pada 4 Oktober 2019.
Menerima anugerah tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Encik Abdul Yazid Kassim, Penyandang Ketua Pegawai Eksekutif TRC, Puan Siti Sarlina Abdul Rahman, Ketua Jabatan Pengurusan Kelulusan MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, Encik Mohd Shaari, Pengarah Perunding Alam Bina Sdn. Bhd, Encik Choong Wooi Cheng, Pengarah Teknikal Aecom Perunding Sdn Bhd Cik Norhayati Hassan dan Pengarah Urusan KPK Quantity Surveyor (Semenanjung) Sdn Bhd Encik Abdul Aziz Mohd Khalil.
Anugerah ini mengiktiraf pembinaan Depoh Sungai Buloh yang telah menunjukkan kecemerlangan keseluruhan dalam pelaksanaan projek, termasuk amalan keselamatan dan kesihatan, manfaat kepada masyarakat dan negara, pertimbangan terhadap penyelenggaraan dan pengurusan asset dan kemudahan dan mutu kerja, serta kualiti kerja-kerja pembinaan.
MCIEA dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan objektif untuk mengiktiraf individua tau/dan organisasi yang telah menyumbang dan mempamerkan kecemerlangan dalam meningkatkan imej, prestasi dan penambahbaikan industri pembinaan, untuk menyediakan platform bagi persaingan yang sihat di antara pemain-pemain industri dalam usaha untuk kecemerlangan dengan mempamerkan amalan-amalan yang terbaik dalam pelaksanaan projek dan memperkukuhkan pemain-pemain industri pembinaan, tempatan dan juga antarabangsa.





