Sejumlah lima subkontrak untuk pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) bernilai RM 3,917,886.23 telah dianugerahkan kepada kontraktor Bumiputera G1-G4 semasa Cabutan Undian Bumiputera yang ke-22 bagi MRT Laluan SSP.
Acara pengundian ini telah diadakan pada 31 Julai 2019 di Ibu Pejabat Korporat Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd di Bukit Damansara dan telah dihadiri oleh wakil dari Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Subkontrak pertama, untuk membekalkan dan menghantar kelengkapan kebersihan bagi Putrajaya Sentral dan Pusat Bandaraya Cyberjaya telah dianugerahkan kepada Ranbina Enterprise, dengan kontrak bernilai RM 77,161.78.
Sabkhin Enterprise telah dianugerahkan subkontraktor kedua semasa cabutan undian, untuk “Entrance Mat” di Damansara Damai dan Sri Damansara West. Kontrak ini bernilai RM 112,310.00.
Subkontrak ketiga, untuk “Stainless Steel Tray with Granite Insert – Stesen Serdang Raya” telah dianugerahkan kepada Mahareka Construction Sdn Bhd dengan kontrak bernilai RM 403,295.00.
Syarikat ATC Group Sdn Bhd telah dianugerahkan subkontraktor keempat untuk membekal dan memasang kerja perparitan di Stesen Sierra 16 yang mempunyai nilai sebanyak RM 2,176,120.85.
Subkontrak terakhir dianugerahkan kepada Impian Mini Sdn Bhd untuk “Membekalkan dan Memasang Tembok Pitching Wall dan RC Wall” dengan kontrak bernilai RM 1,148,368.60.





