Dua set tren elektrik pertama dipasang sepenuhnya yang dibina untuk MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) telah tiba pada 30 Mei 2019 di Westport, Pelabuhan Klang.
Kedua-dua set tren tersebut telah dibina dan dipasang di Changwon, Korea oleh Syarikat Hyundai-Rotem. Setelah menjalani beberapa siri ujian, tren tersebut telah dimuatkan ke kapal MV Genius Star III di Masan, dan telah tiba di Westport selepas mengharungi sepuluh hari perjalanan laut.
Set tren tersebut terdiri daripada empat gerabak bermotor dan empat gerabak treler, yang merupakan dua gerabak penghujung tren dan dua gerabak tengah.
Dari Westport, tren ini akan dibawa ke Depoh MRT di Sungai Buloh, di mana ia akan menjalani beberapa ujian lanjut seperti ujian kebolehpercayaan bebas-kerosakan.
Ketibaan kedua-dua tren elektrik yang lengkap dipasang dan dua set gerabak tren sebelumnya pada awal bulan Januari tahun ini membawa kepada sejumlah empat set tren telah dihantar pada tahun ini, manakala baki 45 set akan dihantar ke Malaysia secara berperingkat untuk dipasang oleh Apex Communications di Rasa, Hulu Selangor.
Apabila siap sepenuhnya Projek Laluan SSP, sejumlah 49 tren akan digunakan di sepanjang jajaran ini.







