Dalam mengimarahkan bulan Ramadhan, Menteri Pengangkutan YB Tuan Anthony Loke membuat lawatan ke Kuarters Pekerja (CLQ) MRT Cochrane untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama para pekerja yang terlibat dalam pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) pada 17 Mei 2019.
Lawatan tersebut adalah lawatan pertama Tuan Anthony ke CLQ sejak beliau dilantik sebagai Menteri Kabinet. Semasa lawatan itu, Tuan Anthony dibawa melawat sekitar CLQ oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Abdul Yazid Kassim di mana beliau telah melihat kemudahan yang disediakan untuk pekerja, seperti ruang dapur, dobi, klinik 24 jam dan gelanggang permainan serbaguna. Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Barisan Kepimpinan MRT Corp serta wakil dari Kontraktor Kerja Bawah Tanah Laluan SSP, MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd.
Abdul Yazid telah memberikan kata-kata aluan dan diikuti oleh ucapan dari Tuan Anthony, di mana beliau menekankan bahawa pekerja-pekerja ini adalah nadi kepada projek infrastruktur negara dan bagaimana MRT Corp telah menyediakan keperluan asas kepada mereka melalui CLQ. Tuan Anthony kemudiannya beramah mesra dengan kesemua pekerja yang hadir di majlis itu.
CLQ MRT Cochrane kini menempatkan para pekerja yang terlibat dalam pembinaan bahagian bawah tanah Laluan SSP, merangkumi kerja-kerja terowong dan pembinaan stesen bawah tanah. CLQ kini menempatkan seramai 1,188 pekerja dari lapan warganegara yang berbeza, termasuk warganegara Malaysia. Sebelum ini, CLQ MRT Cochrane juga telah menempatkan pekerja yang terlibat dalam pembinaan bahagian bawah tanah MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang.
Secara keseluruhan, terdapat 11 CLQ disediakan untuk para pekerja yang terlibat dalam pembinaan Laluan SSP. CLQ tersebut terletak di Sungai Buloh, Cochrane dan Serdang. CLQ merupakan tempat tinggal yang selesa, bersih dan selamat bagi pekerja, di mana ia dapat membantu memastikan kesejahteraan mereka dan juga menghalang dari timbulnya sebarang masalah sosial.















