Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan penggerak hab teknologi Cyberjaya, Cyberview Sdn Bhd, telah menandatangani satu perjanjian pada 3 April 2019 untuk membolehkan sebuah stesen MRT dibina di pembangunan baru Cyberjaya City Centre.
Perjanjian tersebut, yang ditandatangani di Ibu Pejabat Korporat MRT Corp, adalah kali pertama bagi pembangunan yang dilaksanakan dibawah Polisi Pembangunan Berorientasikan Infrastruktur Awam yang digubal oleh Kerajaan Selangor pada tahun 2017. Perjanjian tersebut akan membolehkan sebuah stesen MRT serta struktur-struktur berkaitan bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dibina di atas tanah yang dimiliki Cyberview tanpa pengambilan balik tanah.
Skim kewujudan bersama sebegini membawa manfaat kepada kedua-dua pihak, di mana kos keseluruhan untuk pembinaan projek MRT dapat dikurangkan, manakala Cyberjaya City Centre akan memperolehi status pembangunan berorientasikan transit yang akan berintegrasi sepenuhnya dengan sistem pengangkutan awam yang moden, efisien, boleh percaya dan mesra alam sekitar.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Encik Abdul Yazid Kassim dan Pengarah Urusan Cyberview Encik Najib Ibrahim.
“Kesaling hubungan adalah perkara yang amat penting dalam usaha menjayakan sesuatu bandar raya. Kami yakin dengan adanya MRT di Cyberjaya City Centre, keperluan-keperluan penduduk di sana akan dapat dipenuhi dan ini akan mewujudkan peluang untuk Cyberjaya berkembang dari segi sosial dan ekonomi. Dengan model pembangunan kewujudan bersama dengan MRT Corp ini, pengambilan balik tanah tidak perlu dilakukan. Cyberview pula dapat memberi tumpuan kepada usaha membina sebuah bandar yang mempunyai ciri-ciri pembangunan berorientasikan transit yang akan dapat memaksimakan nilai hasil pembangunan tersebut,” Najib berkata.
Abdul Yazid berkata skim kewujudan bersama antara projek pembangunan dan MRT akan membolehkan lebih ramai orang mendapat perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien.
“Usaha untuk membolehkan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien dan boleh dipercayai adalah satu objetif asas dalam pembangunan prasarana pengangkutan awam. MRT Corp akan sentiasa menyokong skim-skim kewujudan bersama untuk pembangunan berorientasikan transit,” beliau berkata.
Tambah Abdul Yazid, skim-skim tersebut bukan sahaja membawa manfaat dari segi mengurangkan kos projek, malah pembangunan berorientasikan transit yang bakal dibangunkan di sekitar stesen akan dapat memastikan bilangan pengguna MRT yang tinggi di masa depan. Ini akan menguntungkan pengendali MRT setelah perkhidmatan mula beroperasi.
Cyberjaya City Centre akan dibangunkan oleh CSB Development Sdn Bhd, sebuah syarikat usahasama antara Cyberview Sdn Bhd dan MRCB Land Sdn Bhd. Pembangunan Cyberjaya City Centre dengan jumlah keluasan 141 ekar akan menempatkan blok komersial, unit-unit kedai, kompleks kediaman dan juga unit pejabat Gred A yang akan dibangunkan dibawah fasa pertama dengan keluasan 53 ekar. Pembinaan untuk fasa satu telah bermula pada tahun 2016 dan dijangka akan menjana sebanyak RM5.3 bilion daripada jumlah nilai pembangunan kasar keseluruhan projek sebanyak RM10 bilion.





