Dalam usaha menyokong wawasan Kerajaan untuk mewujudkan tadbir urus yang bebas rasuah, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah mengunjungi Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) di Putrajaya pada 28 Februari 2019.
Delegasi yang dianggotai oleh ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Barisan Kepimpinan MRT Corp, telah diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Encik Abdul Yazid Kassim untuk perjumpaan dengan Ketua Pengarah GIACC Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Objektif perjumpaan ini adalah untuk memastikan iltizam MRT Corp terhadap Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Januari 2019.
Dalam perjumpaan itu, Abu Kassim memuji MRT Corp kerana merupakan syarikat-milik kerajaan yang pertama bertemu dengan GIACC berkenaan inisiatif NACP, dan iltizamnya untuk mematuhi NACP 2019-2023 yang ditubuhkan oleh GIACC.
Beliau berharap lebih banyak syarikat dan agensi yang akan menyusul, dan mengambil inisiatif untuk mematuhi NACP supaya dapat mencapai wawasan Malaysia Baharu yang ditadbir dengan penuh integriti, ketelusan dan kod tatalaku yang tinggi.
NACP merangkumi 115 inisiatif anti-rasuah untuk memerangi rasuah, termasuk menggariskan had kuasa dalam usaha untuk memisahkan pengurusan Kerajaan daripada pengaruh politik.
Di bawah Strategi 6 NACP (Memupuk Tadbir Urus Baik dalam Entiti Korporat), sepuluh inisiatif akan perlu dilaksanakan oleh MRT Corp sebagai Entiti Korporat dalam memerangi rasuah di dalam organisasi.
MRT Corp telah membangunkan Pelan Integriti 2019 yang diakui oleh GIACC, merangkumi kebanyakan inisiatif yang disebut. GIACC juga mengesyorkan beberapa inisiatif untuk turut dimasukkan seperti Pelan Pengurusan Risiko dan Pelan Senario di samping memberikan kepentingan kepada Liabiliti Korporat dan Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing.
Sejak ditubuhkan, MRT Corp telah sentiasa mematuhi inisiatif integriti dan Pengauditan Integriti sentiasa dilakukan dalam mematuhi ISO37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah.
Di samping itu, MRT Corp sentiasa menjadikannya satu kepentingan dalam memastikan seluruh warga kerja mematuhi semua polisi dan prosedur.





