Projek Mass Rapid Transit (MRT) telah muncul sebagai juara dalam Anugerah Aksesibiliti Sejagat Datuk Bandar Kuala Lumpur 2018 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dalam kategori Hab Pengangkutan.
Anugerah ini merupakan penghargaan kepada pembangunan yang mengambilkira konsep bebas halangan di peringkat rekabentuk sehingga ke peringkat pembinaan dan kaedah penyelenggaraan. Ia telah disampaikan semasa Malam Apresiasi Rekabentuk Kuala Lumpur 2018 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 4 Disember 2018.
Pencapaian ini diperolehi oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) selepas pemeriksaan kemudahan-kemudahan untuk Orang Kelainan Upaya dijalankan oleh DBKL di stesen-stesen MRT Bukit Bintang, Phileo Damansara dan Pasar Seni.
Pengurus Besar Pembinaan Bertingkat Tempoh Liabiliti Kerosakan MRT Corp Encik Kamarul Baharim Yusoff, Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan MRT Corp Encik Leong Shen-Li, Penolong Pengurus Besar Perancangan dan Reka Bentuk Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) MRT Corp Encik Muhd Fadzil Abd Hadi dan Pengurus Kanan II Projek Stesen Bawah Tanah Laluan SSP MRT Corp Encik Alexander Magistrado turut membantu sepanjang pemeriksaan dijalankan.
Semasa pemeriksaan ini, para juri dari DBKL telah memeriksa, antara yang lain, tanjakan khas bagi para individu berkerusi roda dan tempat letak kereta khas yang terletak berhampiran dengan pintu masuk stesen.
Di majlis anugerah itu, Fadzil telah menerima anugerah tersebut sebagai wakil MRT Corp.
Anugerah itu telah disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tuan Haji Khalid Abd Samad.







