SATU delegasi daripada Kementerian Tanah, Perumahan dan Pembangunan Bandar Uganda telah diberi taklimat tentang Projek Mass Rapid Transit (MRT) Lembah Kelang, sebagai sebahagian daripada lawatan mereka ke Malaysia pada 2 Oktober 2018.
Taklimat tersebut diberikan di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian di Wisma Sumber Asli, Putrajaya. Delegasi seramai lapan orang ini diketuai oleh Menteri Cik Betty Amongsi dan telah membuat lawatan ke Malaysia untuk mempelajari tentang undang-undang Malaysia berkenaan tanah dan pengambilan tanah.
Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Encik Leong Shen-Li telah memberikan taklimat tersebut dan juga menyatakan tentang isu-isu pengambilan tanah bagi Projek MRT. Turut bersama beliau ialah Penolong Pengurus Besar Komersial dan Pengurusan Tanah Encik Azhar Abdul Aziz.
Selepas sesi taklimat, delegasi tersebut menaiki tren MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dari Stesen MRT Kajang ke Stesen MRT Tun Razak Exchange.









