SELARI dengan Tanggungjawab Sosial Korporat Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yang memastikan kebajikan para penduduk di sepanjang jajaran Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) terjaga, organisasi ini telah membina sebuah taman rekreasi di Kampung Selamat.
Taman tersebut yang dinamakan Taman Linear Kampung Selamat terletak bersebelahan Stesen MRT Kampung Selamat.
Satu majlis ringkas untuk menandakan penyerahan taman tersebut kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah diadakan pada 27 Januari 2018. Dengan penyerahan tersebut, MBPJ kini secara rasminya bertanggungjawab ke atas pemilikan dan penyelenggaraan taman itu.
Taman yang berkeluasan 600-meter-persegi itu terletak di tanah rizab yang dimiliki oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dan sebelumnya digunakan sebagai tapak pembinaan Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK).
Usaha bersama oleh SYABAS, Eco Collaboration Sdn Bhd sebagai perunding taman, MBPJ dan MRT Corp telah menjayakan kewujudan taman ini.
Antara mereka yang hadir adalah Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal-Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp Dato’ Najmuddin Abdullah, Timbalan Pengarah Projek MRT Laluan SBK MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd Encik Maslan Othman, Ketua Lanskap MBPJ Puan Zuraidah Sainan, Timbalan Ketua Operasi Pengedaran SYABAS Encik Yusof Saroji dan Pengarah Eco Design Collaboration Sdn Bhd Encik Fatthullah Mohd Nor.
Bercakap di majlis tersebut, wakil penduduk Kampung Selamat Encik Ramli Yahya menyatakan bahawa beliau berharap taman ini akan bermanfaat kepada para penduduk yang berdekatan.
“Inisiatif MRT Corp telah memberikan komuniti kami sesuatu yang berharga dan saya berharap taman ini bukan sahaja berguna sebagai tempat untuk beriadah, malah sebagai laluan ke stesen.”
Sebagai salah sebuah organisasi yang dibiayai oleh Kerajaan, MRT Corp berharap dapat menyumbang kembali kepada masyarakat di sepanjang jajaran Projek MRT.







