Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah berjaya menjadi Pemenang Utama Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2017 berdasarkan peranannya sebagai “Ikonografi Tadbir Urus Pengurusan Projek Ideal”.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar bersama Pengarah Komersial dan Pengurusan Tanah, Dato’ Haris Fadzilah Hassan dan Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal-Ehwal Pihak Berkepentingan Dato’ Najmuddin Abdullah telah menerima anugerah tersebut bagi pihak MRT Corp.
Anugerah yang berupa wang RM1 juta, trofi dan sijil ini telah diterima daripada Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa Majlis AIPM 2017 yang berlangsung pada 7 November 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
AIPM yang dianjurkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sejak 2009 ini merupakan anugerah terunggul sektor awam yang mengiktiraf penghasilan inovasi berimpak tinggi yang menyumbang kepada kepentingan rakyat dan negara.
Pengiktirafan berprestij ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk meneruskan pecutan produktiviti ke arah pencapaian visi negara maju berpendapatan tinggi dan transformasi nasional yang menyeluruh.
Tadbir urus penilaian AIPM dilaksanakan melalui dua peringkat jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pencalonan dan Jawatankuasa Pemilihan dengan keahlian terdiri daripada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan, individu-individu terkemuka merentasi sektor swasta, akademia dan badan bukan kerajaan (NGO).
Penilaian pemenang adalah berdasarkan kepada 4 kriteria utama; kreativiti, keberkesanan, relevan dan signifikan serta mengambil kira empat prinsip Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu impak positif yang tinggi, kos yang minimum, pelaksanaan pantas dan perubahan yang mampan.
Sejumlah 111 penyertaan telah diterima bagi edisi AIPM 2017 di mana 9 calon disenarai pendek untuk di bawa ke Jawatankuasa Pencalonan di mana lima finalis pula diputuskan.









