SELARAS dengan pengumuman Kerajaan Malaysia memberi kelulusan MRT 3 Laluan Lingkaran (CCL) pada 30 Oktober 2017, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah mula membuat persiapan bagi laluan sepanjang 40 km yang dijangka beroperasi pada 2025.
Pengumuman bagi tender dan pelbagai taklimat tentang skop-skop kerja yang diperlukan bagi Laluan Lingkaran telah dilaksanakan sebaik sahaja kelulusan diberikan.
MRT Corp telah menganjurkan satu sesi tender untuk turnkey kontraktor projek pada 15 November 2017 di Ibu Pejabat organisasi ini.
Skop kerja-kerja termasuklah kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengujian dan pentauliahan terowong, jejambat, stesen, depoh, landasan, keretapi, semboyan, bekalan kuasa dan kerja-kerja berkaitan.
Semasa sesi tender, ketua-ketua bahagian MRT Corp dari beberapa jabatan seperti perolehan, operasi kewangan dan keretapi telah memberikan penjelasan bagi setiap komponen berlainan.
Sesi tender ini telah menarik minat 141 syarikat merangkumi lebih daripada 300 individu dari seluruh dunia.
Model turnkey secara keseluruhan bertanggungjawab ke atas reka bentuk hingga ke penyelesaian dan pentauliahan projek.







