PERADUAN “I need MRT because…” anjuran Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yang telah berjalan lebih daripada 3 bulan diakhiri dengan majlis makan malam istimewa dan penyampaian hadiah pada 29 Januari 2013.
Kira-kira 50 orang yang merangkumi pengurusan MRT Corp, Gamuda Bhd, MMC Corporation Bhd dan rakan-rakan media, telah hadir di majlis itu. Majlis diadakan di TEEQ Restaurant di kawasan atas bumbung di Pusat Membeli-belah Lot 10 di Kuala Lumpur.
Malam itu menjadi milik kepada empat pemenang peraduan “I need MRT because…”, terutamanya untuk pemenang hadiah utama Angeline Tu Sun Ing, yang membawa pulang RM10,000. Penyertaannya berbunyi: “Saya perlukan MRT kerana ia akan mengurangkan sebanyak 198,000 kereta di atas jalan raya sehari” dan disertai gambar yang menunjukkan kesesakan lalu lintas di bawah sebuah jambatan jalan raya.
Bercakap mengenai penyertaannya dalam peraduan ini, Angeline berkata: “Walaupun infrastruktur awam di sini sudah maju, saya berasa banyak lagi yang boleh dibuat untuk memperkasakannya dan tidak boleh dinafikan, MRT adalah jawapannya. Saya sekeluarga tidak sabar menanti penyiapan MRT.”
Tiga pemenang yang lain adalah Atiqah Abdul Aziz, Azmil Mohamed dan Yvonne Tang Eng Yen. Mereka merupakan pemenang bulanan untuk September-Oktober, Oktober-November dan November-Disember. Mereka menerima RM5,000 masing-masing.
Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Dato’ Azhar Abdul Hamid dan Pengarah MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd, Dato’ Azmi Mat Nor.
Pada September 2012, MRT Corp menganjurkan peraduan “I need MRT because…” untuk mewujudkan kesedaran tentang projek MRT. Peraduan tiga bulan ini memerlukan peserta untuk menghantar gambar dan slogan yang menerangkan mengapa mereka perlukan MRT dalam kehidupan seharian.
MRT Corp telah menerima hampir 9,000 penyertaan dan meraih lebih 10,000 undian.

















